A A A A A

Dosa: [Melancap]


1 Korintus 9:27
Aku melatih diri dengan giat supaya aku dapat menguasai diri. Aku berbuat demikian, supaya aku tidak ditolak, setelah aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang lain.

1 Korintus 10:13
Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.

1 John 2:16
Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia.

1 Peter 2:11
Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa.

1 Korintus 6:18
Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri!

2 Timothy 2:22
Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Berusahalah untuk hidup menurut kehendak Allah, setia kepada-Nya, mengasihi saudara seiman, dan hidup damai dengan mereka. Lakukanlah semua perkara itu bersama-sama mereka yang meminta pertolongan Tuhan dengan hati yang tulus.

Galatia 5:16
Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia.

Rom 8:6
Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian.

Rom 13:14
Tetapi biarlah Tuhan Yesus Kristus menjadi pelindung kamu. Janganlah turuti tabiat manusia berdosa untuk memuaskan hawa nafsu.

James 1:13-14
[13] Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Allah.” Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang.[14] Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat.

Galatia 5:19-21
[19] Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh;[20] dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak,[21] mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah.

1 Korintus 7:3-5
[3] Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain.[4] Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya. Begitu juga seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi isterinya yang berkuasa atas tubuhnya.[5] Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju, dan hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu kamu harus melanjutkan hubungan sebagai suami isteri. Dengan demikian Iblis tidak dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.

1 Tesalonika 4:3-5
[3] Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul.[4] Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia,[5] serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah.

Matthew 5:27-30
[27] “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’[28] Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati.[29] Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka.[30] Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.”

Malaysian Bible 1996
Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia