A A A A A

Kehidupan: [Kemandulan]


1 Samuel 2:21
Hana diberkati oleh TUHAN, lalu Hana melahirkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel pun bertambah besar sementara dia mengabdi kepada TUHAN.

Ulangan 7:14
Tiada bangsa mana pun di dunia ini yang akan diberkati dengan berlimpah-limpah seperti kamu. Tiada seorang pun di kalangan kamu akan mandul, dan semua ternakan kamu akan membiak.

Ulangan 8:2
Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak.

Kejadian 1:28
Kemudian Dia memberkati mereka dan berfirman, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya. Hendaklah kamu menguasai semua ikan, burung, dan binatang liar.

Kejadian 25:21
Oleh sebab Ribka tidak mempunyai anak, Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya. TUHAN mengabulkan doanya sehingga Ribka mengandung.

Ibrani 11:11
Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya.

1 Korintus 3:16
Tentu kamu tahu bahawa kamu tempat kediaman Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam kamu!

James 1:17
Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun.

John 16:33
Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!”

Mazmur 113:9
Dia menganugerahkan anak-anak kepada isteri yang mandul dan menjadikan dia ibu yang bahagia dan terhormat di rumahnya. Pujilah TUHAN!

Mazmur 127:3
Anak-anak adalah anugerah TUHAN; mereka adalah berkat-Nya.

Mazmur 128:3
Isterimu akan menjadi seperti pokok anggur yang subur di dalam rumahmu, dan anak-anakmu umpama pokok zaitun yang muda di sekeliling mejamu.

Mazmur 139:13
Engkau menciptakan segala bahagian badanku; Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku.

Mazmur 147:3
Dia menyembuhkan orang yang hancur hati, dan membalut luka mereka.

Mark 11:24
Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu.

Filipi 4:13
Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.

Rom 12:12
Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa.

Lukas 1:36-37
[36] Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut.[37] Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.”

Rom 5:3-5
[3] Kita juga membanggakan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan menghasilkan ketekunan.[4] Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan.[5] Harapan itu tidak akan mengecewakan kita, kerana Allah sudah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita. Allah melakukan hal itu dengan perantaraan Roh-Nya, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita.

Lukas 1:13-21
[13] Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes.[14] Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan![15] Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah.[16] Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka.[17] Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.”[18] Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.”[19] Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini.[20] Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.”[21] Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan.

Mazmur 112:1-10
[1] Pujilah TUHAN! Berbahagialah orang yang menghormati TUHAN, yang suka mentaati perintah-Nya.[2] Anak-anak orang yang baik akan berkuasa di negeri ini; keturunannya akan diberkati.[3] Keluarganya akan menjadi kaya-raya, dan dia akan makmur selama-lamanya.[4] Dia seperti cahaya yang bersinar dalam kegelapan bagi orang jujur; dia berbelas kasihan, penyayang, dan adil.[5] Berbahagialah orang yang murah hati dan suka memberi pinjaman, serta jujur dalam segala urusan.[6] Orang yang baik tidak sekali-kali akan gagal; dia akan diingat selama-lamanya.[7] Dia tidak takut menerima berita buruk; hatinya teguh kerana percaya kepada TUHAN.[8] Dia tidak khuatir ataupun takut kerana dia yakin musuhnya akan dikalahkan.[9] Dia memberikan sedekah kepada orang miskin, dia selalu murah hati, dia akan berkuasa dan dihormati orang.[10] Orang jahat melihat hal ini lalu naik marah; mereka memandang aku dengan kebencian. Lalu mereka binasa; harapan mereka lenyap selama-lamanya.

Yesaya 54:1-17
[1] Hai Yerusalem, dahulu kamu seperti wanita mandul, tetapi sekarang bernyanyilah dan bersorak-sorailah dengan gembira. Sekarang kamu akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang tidak pernah ditinggalkan suami![2] Luaskanlah khemah kediamanmu, panjangkan talinya dan kukuhkanlah pasaknya![3] Kawasanmu akan diperluas di setiap sisi; pendudukmu akan kembali menghuni negeri yang sekarang diduduki oleh bangsa-bangsa lain. Kota-kota yang sekarang lengang akan dipenuhi orang.[4] Jangan takut! Kamu tidak akan dipermalukan lagi. Kamu tidak akan dihina lagi. Kamu akan melupakan ketidaksetiaanmu pada waktu muda, dan tidak ingat akan kesunyianmu sebagai janda.[5] Penciptamu seperti suami bagimu, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu, Dialah Allah penguasa seluruh dunia.[6] Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda, yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya. Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya. Dia berfirman,[7] “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu, tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali.[8] Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka, tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.” Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu.[9] “Pada zaman Nuh Aku berjanji tidak akan membanjiri bumi lagi. Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi; Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu.[10] Biarpun gunung dan bukit runtuh, tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu; Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu.[11] TUHAN berfirman, “Hai Yerusalem, kota yang menderita dan tidak berdaya, tiada sesiapa pun yang menghiburkan kamu. Aku akan membina asasmu semula dengan batu nilam.[12] Aku akan membina menaramu dengan batu delima, pintu gerbangmu dengan batu manikam merah, dan tembok di sekelilingmu dengan batu permata.[13] Aku sendiri akan mengajar pendudukmu, dan memberi mereka kemakmuran dan kedamaian.[14] Keadilan akan menguatkan kamu. Kamu akan terhindar daripada penindasan dan kengerian.[15] Jika seseorang menyerbu kamu, bukanlah Aku yang menyuruhnya; sesiapa yang menyerang kamu akan jatuh.[16] Akulah yang menciptakan tukang besi, yang menyalakan api lalu membuat senjata. Aku juga yang menciptakan askar, yang menggunakan senjata itu untuk membunuh.[17] Tetapi tiada senjata yang dapat mencederakan kamu; semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah. Aku akan membela hamba-hamba-Ku, serta memberi mereka kemenangan.” Demikianlah firman TUHAN.

1 Samuel 1:1-28
[1] Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf.[2] Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak.[3] Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN.[4] Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya.[5] Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya.[6] Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana.[7] Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa.[8] Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?”[9] [9-10] Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu.[10] ***[11] Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.”[12] Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana.[13] Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli.[14] Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!”[15] Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN.[16] Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.”[17] Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.”[18] “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi.[19] Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana.[20] Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.”[21] Kemudian tibalah masanya bagi Elkana dan keluarganya pergi ke Silo lagi untuk mempersembahkan korban tahunan kepada TUHAN. Selain itu Elkana sudah berjanji untuk mempersembahkan suatu korban khas.[22] Tetapi kali ini Hana tidak ikut. Dia berkata kepada suaminya, “Sebaik saja Samuel bercerai susu, aku akan membawa dia ke rumah TUHAN, dan dia akan tinggal di situ seumur hidupnya.”[23] Elkana berkata, “Baiklah, lakukanlah apa yang engkau pandang baik. Tinggallah di rumah sampai anak kita bercerai susu. Semoga TUHAN membuat janjimu menjadi kenyataan.” Maka Hana tinggal di rumah sehingga anaknya itu bercerai susu.[24] Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain.[25] Setelah mereka menyembelih lembu itu, mereka menghantar Samuel kepada Eli.[26] Hana berkata kepada Eli, “Tuan, masih ingatkah tuan akan saya? Sayalah perempuan yang tuan nampak berdiri di sini dahulu, yang berdoa kepada TUHAN.[27] Saya minta anak ini daripada TUHAN, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya.[28] Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Anak ini akan menjadi milik TUHAN seumur hidupnya.” Selepas itu mereka beribadat kepada TUHAN di situ.

Indonesian Bible (BPJ)
World Bible Translation Center