A A A A A

Perwatakan Baik: [Kepuasan]


Matthew 6:25-33
[25] Oleh itu, jangan khuatir akan hidup kamu - apa yang akan kamu makan dan minum, atau apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih bernilai daripada pakaian?[26] Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya! Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung?[27] Siapakah antara kamu dapat memanjangkan umur walaupun sedikit dengan mengkhuatiri hidupnya?[28] Mengapa kamu khuatir tidak mempunyai cukup pakaian? Lihatlah bunga-bunga di padang, yang tidak bekerja atau menenun.[29] Tetapi Raja Salomo dengan segala kekayaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga itu![30] Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberi kamu pakaian? Tetapi kamu kurang percaya kepada Allah![31] Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai.[32] Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Allah. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.[33] Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu.

2 Korintus 11:23-25
[23] Adakah mereka hamba Kristus? Mungkin kedengarannya aku ini gila, tetapi aku ini hamba yang lebih baik daripada mereka. Aku bekerja lebih keras, aku lebih sering dipenjarakan, aku lebih sering disesah dan aku kerap kali menghadapi maut.[24] Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali.[25] Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam.

Filipi 4:12-13
[12] Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan.[13] Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.

Ibrani 13:5
Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Allah sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.”

1 Timothy 6:6-7
[6] Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki.[7] Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak!

Lukas 12:15
Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.”

2 Korintus 12:10
Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus.

Mazmur 37:3-4
[3] Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik; tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat.[4] Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.

1 Timothy 6:10-11
[10] Sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan. Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita.[11] Tetapi engkau, hai orang yang melakukan kehendak Allah, jauhkanlah dirimu daripada segala perkara itu. Berusahalah supaya sentiasa melakukan kehendak Allah, hidup beribadat, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, tabah menghadapi penderitaan, dan bersikap lemah-lembut.

Amsal 16:8
Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram.

Amsal 28:6
Lebih baik miskin dan jujur daripada kaya dan curang.

Ecclesiastes 3:13
Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah.

Malaysian Bible 1996
Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia