A A A A A

Perwatakan Baik: [Keramahan]


Ibrani 3:2
Yesus setia kepada Allah yang sudah memilih Dia untuk tugas itu, sebagaimana Musa pun setia melakukan tugasnya di rumah Allah.

Yesaya 58:7
Bahagilah makanan kamu dengan orang yang lapar, dan sambutlah orang miskin yang tiada tempat berteduh, ke dalam rumah kamu. Berikanlah pakaian kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian, dan jangan tolak sanak saudara kamu sendiri yang memerlukan pertolongan.

1 Timothy 5:10
dan terkenal kerana perbuatannya yang baik, misalnya membesarkan anak-anaknya dengan baik, menyambut orang ke dalam rumahnya, melayani orang seiman, menolong orang susah, dan sentiasa melakukan apa yang baik.

Titus 1:8
Dia mesti suka menyambut orang ke rumah dan menyukai apa yang baik. Dia harus tahu mengawal diri, jujur, suci, dan berdisiplin.

1 Peter 4:8-9
[8] Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni.[9] Hendaklah kamu saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut.

Acts 16:33-34
[33] Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis.[34] Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah.

Imamat 19:33-34
[33] Jangan tindas orang asing yang tinggal di negeri kamu.[34] Perlakukanlah mereka seperti kamu memperlakukan orang kamu sendiri, dan kasihilah mereka seperti kamu mengasihi diri kamu sendiri. Ingatlah bahawa kamu pun pernah hidup sebagai orang asing di negeri Mesir. Akulah TUHAN, Allah kamu.

Lukas 14:7-14
[7] Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik. Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua.[8] Dia berkata, “Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga.[9] Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, ‘Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia.’ Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang?[10] Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.’ Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain.[11] Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”[12] Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, “Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatanmu.[13] Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta.[14] Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.”

Matthew 25:34-46
[34] Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Hai kamu yang diberkati Bapa-Ku! Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya.[35] Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan ketika Aku dahaga, kamu memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu.[36] Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.’[37] Tetapi mereka yang melakukan kehendak Allah berkata, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum?[38] Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami, atau melihat Tuhan tidak berpakaian lalu memberi Tuhan pakaian?[39] Bilakah kami nampak Tuhan sakit lalu merawat Tuhan? Bilakah kami melawat Tuhan di penjara?’[40] Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!’[41] Kemudian Raja itu akan berkata kepada kumpulan orang di sebelah kiri-Nya, ‘Pergi dari sini, hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya![42] Ketika Aku lapar, kamu tidak memberi Aku makan; ketika Aku dahaga, kamu tidak memberi Aku minum.[43] Aku seorang asing, tetapi kamu tidak menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, tetapi kamu tidak memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan, tetapi kamu tidak melawat Aku.’[44] Lalu mereka akan berkata kepada-Nya, ‘Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar, atau dahaga, atau sebagai orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau dipenjarakan, dan kami tidak menolong Tuhan?’[45] Raja itu akan menjawab, ‘Ketahuilah bahawa pada waktu kamu tidak mahu menolong salah seorang yang hina, kamu tidak mahu menolong Aku.’[46] Kemudian semua orang itu akan menderita hukuman yang kekal, sedangkan mereka yang melakukan kehendak Allah akan menerima hidup sejati dan kekal.”

Rom 12:13-20
[13] Hendaklah kamu berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah.[14] Berdoalah kepada Allah supaya Dia memberkati orang yang menganiaya kamu. Mintalah Allah memberkati mereka, dan janganlah minta Allah mengutuk mereka.[15] Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis.[16] Hendaklah kamu semua hidup rukun. Janganlah bersikap sombong, janganlah tolak tugas yang dipandang rendah. Janganlah anggap diri kamu lebih bijak daripada yang sebenarnya.[17] Jika seseorang berbuat jahat terhadap kamu, janganlah balas dia dengan kejahatan. Berusahalah untuk melakukan apa yang dianggap baik oleh semua orang.[18] Dengan sedaya upaya, berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang.[19] Saudara-saudaraku! Jangan sekali-kali balas dendam; biarlah Allah yang membalas dendam. Di dalam Alkitab tertulis, “Aku akan membalas kejahatan mereka. Aku akan menghukum mereka, firman Tuhan.”[20] Janganlah balas dendam, tetapi lakukanlah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Kerana dengan berbuat demikian, kamu akan membuat dia malu.”

Malaysian Bible 1996
Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia