A A A A A

Gereja: [Ibadah]


2 Tawarikh 16:23-31
[23] Mereka membawa kitab Taurat TUHAN, lalu menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengajar rakyat di sana.[24] TUHAN membuat semua kerajaan di sekitar Yehuda takut berperang melawan Raja Yosafat.[25] Sebilangan orang Filistin memberi Raja Yosafat banyak perak dan hadiah yang lain. Ada pula orang Arab yang memberinya 7,700 ekor domba dan 7,700 ekor kambing.[26] Demikianlah Raja Yosafat menjadi semakin berkuasa. Di seluruh Yehuda baginda membina kubu-kubu dan kota-kota.[27] Baginda menyimpan perbekalan yang banyak di kota-kota itu. Di Yerusalem baginda menempatkan pahlawan-pahlawan yang perkasa[28] menurut puak masing-masing. Adna menjadi panglima utama puak-puak Yehuda, dan dia memimpin 300,000 orang askar.[29] Panglima kedua ialah Yohanan; dia memimpin 280,000 orang askar.[30] Panglima ketiga ialah Amasia anak Zikhri; dia memimpin 200,000 orang askar. (Amasia mengabdi kepada TUHAN dengan sukarela.)[31] Elyada menjadi panglima utama puak-puak Benyamin, dan dia memimpin 200,000 orang askar yang bersenjatakan perisai dan busur.

Daniel 2:20
“Allah sungguh bijak dan berkuasa! Pujilah Dia selama-lamanya.

Ulangan 10:21
Pujilah Dia kerana Dia Allah kamu, dan dengan mata sendiri, kamu sudah menyaksikan perkara-perkara besar dan mengagumkan yang dilakukan-Nya untuk kamu.

Yeremia 20:13
Bernyanyilah bagi TUHAN! Pujilah TUHAN! Dia melepaskan orang tertindas daripada kuasa orang durjana.

Mazmur 75:1
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Asaf. Lagu.

Exodus 20:2-6
[2] “Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba.[3] Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja.[4] Jangan buat patung bagi diri kamu, patung yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi.[5] Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu, dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat.[6] Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan taat kepada hukum-Ku.

John 4:21-24
[21] Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem.[22] Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi.[23] Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa.[24] Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.”

Mazmur 99:1-9
[1] TUHAN itu raja, orang gementar kerana Dia; Dia bertakhta di atas kerub, dan bumi pun bergoncang.[2] TUHAN sangat berkuasa di Sion; Dia penguasa tertinggi atas semua bangsa.[3] Setiap orang akan memuji nama-Nya yang agung dan mulia. Sucilah Dia![4] Hai Raja yang perkasa, Engkau mencintai hukum; Engkau telah menegakkan keadilan di Israel, Engkau telah melaksanakan hukum dan keadilan.[5] Pujilah TUHAN, Allah kita; sujudlah di hadapan takhta-Nya! Sucilah Dia![6] Musa dan Harun termasuk imam-imam-Nya, dan Samuel salah seorang yang berdoa kepada Dia; mereka berseru kepada TUHAN dan Dia menjawab mereka.[7] Dari tiang awan, Dia berfirman kepada mereka; mereka patuh kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya.[8] Ya TUHAN, Allah kami, Engkau mengabulkan permintaan umat-Mu; Engkau menunjukkan bahawa Engkau Allah yang suka mengampuni orang, walaupun Engkau menghukum mereka kerana dosa mereka.[9] Pujilah TUHAN, Allah kita dan sembahlah Dia di atas bukit-Nya yang suci! TUHAN, Allah kita suci.

Ulangan 29:18
Oleh itu, jagalah supaya tidak seorang pun di sini pada hari ini, sama ada lelaki, perempuan, keluarga, ataupun suku yang berpaling daripada TUHAN, Allah kita, lalu menyembah tuhan-tuhan bangsa lain. Perbuatan itu bagaikan akar yang tumbuh menjadi tanaman pahit dan beracun.

Rom 12:1-2
[1] Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah.[2] Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah - iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna.

1 Samuel 15:22
Samuel berkata, “Manakah yang lebih disukai TUHAN, ketaatan atau persembahan dan korban? Lebih baik taat kepada TUHAN daripada mempersembahkan domba yang paling gemuk kepada-Nya.

Wahyu 4:8-11
[8] Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, “Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.”[9] Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi,[10] dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata,[11] “Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.”

Yesaya 29:13
Tuhan berfirman, “Bangsa ini mengaku menyembah Aku, tetapi kata-kata mereka kosong, dan hati mereka jauh daripada-Ku. Agama mereka hanya peraturan dan adat manusia yang dihafazkan.

Mazmur 29:1-11
[1] Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, hai makhluk-makhluk syurga; pujilah kemuliaan dan kuasa-Nya.[2] Pujilah nama TUHAN yang mulia, bersujudlah di hadapan Yang Maha Suci apabila Dia muncul.[3] Allah yang mulia mengguntur di atas laut; suara TUHAN bergema di seluruh lautan.[4] Suara TUHAN kedengaran dengan penuh kuasa dan kemuliaan.[5] Suara TUHAN mematahkan pokok-pokok sedar, bahkan pokok-pokok sedar di Lebanon.[6] Dia menyebabkan gunung-gunung di Lebanon berlompatan seperti anak lembu ketakutan, dan Gunung Hermon berloncatan seperti lembu jantan muda kegentaran.[7] Suara TUHAN membuat kilat memancar.[8] Suara-Nya membuat gurun bergegar; Dia menggoncang gurun Kades.[9] Suara TUHAN menggoncangkan pokok-pokok berangan, serta menggugurkan daun-daun di hutan; sementara di Rumah TUHAN umat bersorak, “Muliakanlah Allah!”[10] TUHAN memerintah lautan yang dalam; Dia memerintah sebagai Raja selama-lamanya.[11] TUHAN menguatkan umat-Nya, dan memberkati mereka dengan kesejahteraan.

Ibrani 12:28-29
[28] Oleh itu, hendaklah kita bersyukur, kerana kita menerima suatu kerajaan yang tidak dapat digoncangkan. Hendaklah kita bersyukur dan menyembah Allah dengan hormat dan takut, menurut cara yang diperkenankan oleh-Nya,[29] kerana Allah kita seperti api yang memusnahkan.

Nehemia 9:5-6
[5] Ibadat pada hari itu dimulakan oleh orang Lewi yang berikut: Yesua, Kadmiel, Bani, Hasabneya, Serebya, Hodia, Sebanya, dan Petahya. Mereka berkata, “Marilah berdiri dan memuji TUHAN, Allah kita; pujilah Dia selama-lamanya! Pujilah nama-Nya yang penuh kemuliaan, nama yang lebih agung daripada segala pujian!”[6] Selepas itu umat Israel berdoa demikian, “Ya TUHAN, Engkaulah satu-satunya TUHAN; Engkau menciptakan bintang dan seluruh angkasa, Engkau menjadikan darat dan laut serta segala isinya; Engkau memberikan hidup kepada semuanya. Segala kuasa di langit bersembah sujud kepada-Mu; mereka berlutut dan tunduk kepada-Mu.

Mazmur 86:9-10
[9] Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan, untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu.[10] Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah.

2 Raja 17:38-39
[38] dan jangan lupa akan perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu itu. Jangan sembah tuhan-tuhan lain,[39] tetapi hendaklah kamu menyembah Aku TUHAN, Allah kamu, maka Aku akan menyelamatkan kamu daripada musuh.”

Mazmur 100:1-5
[1] Mazmur kesyukuran. Bernyanyilah untuk TUHAN, hai penduduk dunia![2] Sembahlah TUHAN dengan sukacita; datanglah ke hadirat-Nya dengan lagu-lagu gembira![3] Akuilah bahawa TUHAN itu Allah. Dia mencipta kita, dan kita kepunyaan-Nya; kita umat-Nya, bangsa yang dipelihara-Nya.[4] Masuklah melalui pintu gerbang-Nya dengan ucapan syukur, pergilah ke halaman Rumah-Nya dengan pujian. Bersyukurlah kepada-Nya dan pujilah Dia.[5] TUHAN itu baik; Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya.

Daniel 3:16-18
[16] Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri.[17] Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami.[18] Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”

Wahyu 14:7
Malaikat itu berseru, “Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!”

Malaysian Bible 1996
Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia