A A A A A

Gereja: [Pentakosta]


Exodus 34:22-43
[22] Rayakanlah Perayaan Menuai apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu. Rayakanlah juga Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu memetik buah-buahan.[23] Tiga kali setahun, semua orang lelaki mesti datang menyembah Aku TUHAN, Allah Israel.[24] Setelah Aku mengusir bangsa-bangsa dari hadapan kamu dan meluaskan wilayah kamu, tiada sesiapa pun yang akan cuba menakluki negeri kamu pada waktu tiga perayaan itu.[25] Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Sisa binatang yang disembelih pada masa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga esok pagi.[26] Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama dari tanah kamu ke rumah TUHAN, Allah kamu. Jangan masak anak domba atau anak kambing dalam air susu induknya.”[27] TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.”[28] Musa tinggal di tempat itu bersama-sama TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, tanpa makan dan minum. Musa menulis perkataan perjanjian itu, iaitu Sepuluh Hukum, pada batu-batu tulis itu.[29] Apabila Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa Sepuluh Hukum itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan TUHAN, tetapi Musa sendiri tidak tahu bahawa mukanya bercahaya.[30] Harun dan segenap umat melihat bahawa muka Musa bercahaya. Oleh itu mereka takut mendekati Musa,[31] tetapi Musa memanggil mereka. Kemudian Harun bersama dengan para pemimpin umat mendekatinya, dan Musa berkata-kata kepada mereka.[32] Selepas itu, segenap umat Israel berkumpul di sekeliling Musa. Lalu kepada mereka, Musa menyampaikan segala hukum yang diberikan TUHAN kepadanya di Gunung Sinai.[33] Selepas Musa berucap kepada mereka, dia menutup mukanya dengan selubung.[34] Setiap kali Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, Musa membuka selubungnya. Selepas Musa keluar, dia menyampaikan segala yang diperintahkan TUHAN kepada segenap umat Israel,[35] dan mereka nampak mukanya bercahaya. Kemudian Musa menutup mukanya semula sehingga sampai masanya dia bercakap lagi dengan TUHAN.[36] Musa menyuruh segenap umat Israel berkumpul, lalu berkata kepada mereka, “Inilah perintah TUHAN untuk kamu:[37] Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh harus dianggap suci; hari itu hari rehat yang ditahbiskan untuk TUHAN. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati.[38] Pada hari Sabat kamu tidak boleh menyalakan api di rumah kamu.”[39] Musa berkata kepada segenap umat Israel, “Inilah yang telah diperintahkan TUHAN:[40] Bawalah persembahan kepada TUHAN. Sesiapa yang ingin memberikan persembahan harus mempersembahkan emas, perak, atau gangsa;[41] kain linen halus; kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing;[42] kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia;[43] minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum;

Ulangan 16:9-25
[9] “Kiralah tujuh minggu mulai hari pertama kamu menuai gandum.[10] Kemudian rayakanlah Perayaan Menuai untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Berikanlah persembahan sukarela kepada-Nya, menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan-Nya kepada kamu.[11] Bersukacitalah di hadirat TUHAN, bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Lakukanlah hal ini di satu tempat ibadat itu.[12] Taatilah perintah-perintah ini dengan setia. Ingatlah bahawa kamu diperhamba di Mesir dahulu.”[13] “Setelah kamu menebah semua gandum dan memeras semua buah anggur, rayakanlah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari.[14] Bersukacitalah bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang bangsa asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu.[15] Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan perayaan ini selama tujuh hari di satu tempat ibadat itu. Bersukacitalah kerana TUHAN sudah memberkati tuaian dan pekerjaan kamu.[16] Semua orang lelaki bangsa kamu mesti datang untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu tiga kali setahun, di satu tempat ibadat: pada Perayaan Paska, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun. Setiap orang lelaki harus membawa persembahan[17] menurut kemampuannya dan menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepadanya.”[18] “Lantiklah hakim-hakim dan pegawai-pegawai lain di tiap-tiap kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Semua orang itu mesti menghakimi rakyat dengan adil.[19] Mereka tidak boleh bersikap curang atau berat sebelah apabila menjalankan penghakiman. Mereka tidak boleh menerima rasuah kerana rasuah membutakan orang, bahkan orang bijak dan jujur sekalipun, sehingga mereka membuat keputusan yang salah.[20] Kamu harus sentiasa adil dan tidak berat sebelah, supaya kamu boleh menduduki tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu terus menetap di sana.[21] Apabila kamu membina mazbah untuk TUHAN, Allah kamu, jangan tegakkan tiang kayu yang menjadi lambang Dewi Asyera di sebelah mazbah itu.[22] Jangan dirikan tiang batu bagi penyembahan berhala di tempat itu. TUHAN Allah kamu membenci perbuatan itu.[23] Jangan persembahkan lembu atau domba yang cacat kepada TUHAN, Allah kamu; TUHAN membenci perbuatan itu.[24] Andaikata kamu mendengar bahawa di salah sebuah kota kamu, ada beberapa orang lelaki atau perempuan yang telah berdosa terhadap TUHAN, dan melanggar perjanjian-Nya[25] serta perintah TUHAN kerana mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain, atau kepada matahari, atau kepada bulan, atau kepada bintang-bintang.

Acts 2:1-13
[1] Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat.[2] Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk.[3] Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ.[4] Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka.[5] Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah.[6] Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing.[7] Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea![8] Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing?[9] Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia,[10] dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma,[11] baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!”[12] Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?”[13] Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!”

Malaysian Bible 1996
Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia