A A A A A

Perwatakan Buruk: [Kesombongan]


Ecclesiastes 2:1-21
[1] Aku mengambil keputusan untuk berseronok agar mengetahui erti kebahagiaan, tetapi usahaku sia-sia.[2] Aku mendapati bahawa ketawa itu suatu kebodohan, dan bahawa keseronokan tidak membawa faedah.[3] Kerana didorong oleh keinginan untuk beroleh hikmat, aku bertekad untuk menggembirakan hati dengan minum wain dan bersuka-suka. Aku menyangka inilah cara terbaik bagi seseorang menikmati hidupnya yang singkat di bumi.[4] Aku berjaya dalam banyak hal. Aku membina rumah dan mengusahakan ladang anggur.[5] Aku mengusahakan taman dan kebun yang ditanami berbagai-bagai pokok buah-buahan.[6] Aku menggali parit untuk mengairi taman dan kebun itu.[7] Aku mempunyai banyak abdi, baik yang kubeli ataupun yang dilahirkan di rumahku. Aku memiliki lebih banyak ternakan daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem.[8] Aku mengumpulkan emas dan perak daripada perbendaharaan negeri-negeri yang aku perintah. Biduan dan biduanita menyanyi untuk menghiburkan aku, dan aku mempunyai perempuan sebanyak yang kuingini.[9] Aku demikian agung, lebih agung daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem, dan hikmatku sentiasa menolong aku.[10] Aku mendapat segala sesuatu yang aku mahu. Aku tidak pernah menahan diri daripada menikmati keseronokan. Aku bangga dengan segala yang telah kuusahakan. Segalanya itu ganjaranku.[11] Kemudian aku merenungkan segala yang telah kulakukan, dan betapa kuat aku telah mengusahakannya. Lalu aku sedar bahawa segalanya tidak bermakna. Usahaku itu sia-sia seperti mengejar angin.[12] Seorang raja hanya dapat melakukan apa yang telah dilakukan oleh raja-raja yang sebelumnya. Lalu aku mula berfikir tentang hikmat, kebebalan, dan kebodohan.[13] Aku memang tahu, “Hikmat lebih baik daripada kebodohan, seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan.[14] Orang bijak tahu ke mana mereka pergi, sedangkan orang bodoh tidak.” Tetapi aku tahu juga bahawa kesudahan mereka semua sama![15] Aku berfikir, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh. Oleh itu, apakah untungnya jika aku bijak?” Lalu aku mengambil kesimpulan bahawa hikmat itu memang tidak berguna sama sekali.[16] Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh. Pada masa yang akan datang mereka semua akan dilupakan. Semua orang mesti mati, baik yang bijak mahupun yang bodoh.[17] Oleh itu, hidup tidak bermakna bagiku, kerana semua yang telah kualami, memberikan aku kesusahan semata-mata. Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja.[18] Tiada sesuatu pun yang telah kuusahakan dan kucapai bermakna bagiku, kerana aku tahu bahawa aku mesti menyerahkannya kepada penggantiku.[19] Siapa tahu? Mungkin dia bijak, mungkin dia bodoh! Namun dia akan mewarisi semua yang telah kuusahakan; segala yang telah kuperoleh di dunia dengan hikmatku. Semua itu sia-sia.[20] Aku menyesal kerana telah bekerja begitu keras.[21] Seseorang mengusahakan sesuatu dengan segala hikmat, pengetahuan, dan kemahirannya, kemudian terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang tidak mengusahakannya. Bukankah itu sia-sia dan tidak adil?

Ecclesiastes 4:4
Aku faham juga mengapa orang bekerja keras supaya berjaya; mereka iri hati terhadap jiran mereka. Tetapi itu sia-sia sahaja. Keadaan mereka seperti orang yang mengejar angin.

Ecclesiastes 5:10
Semakin banyak kekayaan kamu, semakin banyak tanggungan kamu. Kamu tidak mendapat keuntungan apa-apa, kamu hanya tahu bahawa kamu kaya.

Ecclesiastes 6:2
Allah memberi orang harta, kekayaan dan kehormatan - apa-apa sahaja yang diingini mereka, tetapi Allah tidak membenarkan mereka menikmati semua pemberian itu. Sebaliknya, orang yang tidak dikenal akan menikmati kekayaan itu. Semua itu sia-sia dan tidak adil.

Yeremia 2:5
TUHAN berfirman, “Apakah tuduhan nenek moyang kamu terhadap Aku? Mengapa mereka berpaling daripada-Ku? Mereka menyembah berhala-berhala yang sia-sia, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna.

Yeremia 4:30
Hai Yerusalem, engkau ditimpa bencana! Mengapa engkau memakai baju merah? Mengapa engkau menghias diri dengan barang kemas, serta menyolek mata dengan celak? Sia-sialah engkau mencantikkan dirimu! Semua bekas kekasihmu menghina engkau, malah mereka mahu mencabut nyawamu.

Amsal 31:30
Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji.

Mazmur 39:5-6
[5] “Ya TUHAN, beritahulah aku masa kematianku supaya aku tahu betapa singkatnya hidupku.”[6] Betapa pendeknya umurku Engkau tentukan! Bagi Engkau, seumur hidupku tidak bererti apa-apa. Sesungguhnya hidup setiap orang seperti hembusan nafas,

Mazmur 119:37
Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.

Rom 12:2
Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah - iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna.

1 Samuel 16:7
Tetapi TUHAN berfirman kepada Samuel, “Jangan perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; bukan dia yang Aku kehendaki. Aku tidak menilai orang seperti cara manusia menilai orang. Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.”

1 Timothy 4:8
Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang.

Ecclesiastes 1:1-2
[1] Berikut ini kata-kata Si Pemikir, raja di Yerusalem. Baginda putera Raja Daud.[2] Semuanya sia-sia dan tidak berguna, kata Si Pemikir. Hidup itu sia-sia, semuanya tidak bererti.

Galatia 5:16-26
[16] Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia.[17] Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan.[18] Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat.[19] Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh;[20] dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak,[21] mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah.[22] Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia,[23] rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu.[24] Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya.[25] Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita.[26] Kita tidak boleh menjadi sombong atau saling menyakiti hati, ataupun iri hati terhadap satu sama lain.

Malaysian Bible 1996
Hakcipta © 1996, The Bible Society of Malaysia