A A A A A

Tuhan: [Kewangan]


2 Korintus 8:9
Kamu tahu tentang kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih. Dia kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinannya kamu menjadi kaya.

3 John 1:2
Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia.

Galatia 6:9
Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.

James 5:12
Saudara-saudaraku, ini sangat penting-janganlah bersumpah ketika mengikat janji. Jangan bersumpah demi langit, bumi atau apa-apapun. Katakan ‘ya’ apabila maksudmu ya, dan ‘tidak’ apabila maksudmu tidak. Dengan demikian tidaklah kamu dihukum Allah.

John 6:12
Setelah kenyang semuanya, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.’

Lukas 6:38
Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah keluar akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan terhadap kamu.’

Lukas 12:34
Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.

Matthew 6:33
Utamakanlah kerajaan Allah dan laksanakan kebenaran-Nya; Allah akan memberikan semua itu kepadamu.

Matthew 23:23
‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada pelbagai jenis rempah seperti selasih, adas manis dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mematuhi ajaran Taurat yang benar-benar penting seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Kamu harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain.

Matthew 25:21
‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.”

Rom 13:8
Jangan merasa terhutang apa-apa kepada sesiapapun kecuali kasih-mengasihi, kerana seseorang yang mengasihi sesama manusia telah memenuhi hukum;

Mark 11:22-23
[22] Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Berimanlah kepada Allah.[23] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, “Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,” tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu.

2 Korintus 9:6-8
[6] Ingatlah firman ini: Orang yang menyemai sedikit akan menuai sedikit, dan orang yang menyemai banyak akan menuai banyak.[7] Masing-masing hendaklah memberi setulus hati, jangan dengan rasa enggan atau terpaksa, kerana Allah meredai orang yang memberi dengan gembira.[8] Allah berkuasa melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadamu, supaya kamu dapat memenuhi segala keperluanmu dan berlebihan pula untuk amal kebajikan.

Lukas 14:28-30
[28] ‘Jikalau seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu.[29] Jikalau dia sudah meletakkan asas menara itu, tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya.[30] “Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.”

Lukas 6:34-36
[34] Jikalau kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.[35] Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang zalim.[36] Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.

James 5:1-3
[1] Dengarlah nasihatku, wahai orang kaya. Menangis dan merataplah, kerana kesusahan akan menimpamu.[2] Kekayaanmu akan reput dan pakaianmu dimakan gegat.[3] Emas perakmu akan berkarat, karatnya akan menjadi saksi menuduhmu dan akan menghanguskan tubuhmu seperti api. Kamu telah mengumpulkan harta pada akhir zaman ini.

Matthew 6:1-34
[1] ‘Ingatlah: Jangan buat kerja amal di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.[2] ‘Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Orang begitu sudahpun mendapat ganjaran mereka.[3] Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu.[4] Jangan siapapun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.[5] ‘Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Mereka itu sudahpun mendapatkan ganjaran mereka.[6] Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.[7] Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang.[8] Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.[9] ‘Berdoalah demikian:“Ya Bapa kami yang di syurga, Sucilah Nama-Mu.[10] Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.[11] Berilah makanan kami untuk hari ini.[12] Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.[13] Janganlah biarkan kami tergoda, Selamatkanlah kami daripada si durjana. Engkaulah yang memiliki kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.”[14] ‘Jika kamu mengampuni orang yang bersalah kepadamu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga.[15] Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.[16] ‘Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Mereka ini sudahpun mendapat ganjaran mereka.[17] Ketika berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambutmu[18] supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.[19] ‘Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya.[20] Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya.[21] Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.[22] ‘Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu dipenuhi cahaya.[23] Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya![24] ‘Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.[25] ‘Oleh itu, janganlah runsing tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai untuk menutupnya. Bukankah hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian?[26] Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung?[27] Siapakah di kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan bersikap runsing?[28] ‘Jadi, mengapakah kamu runsing tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun.[29] Tetapi Raja Sulaiman dengan segala kehebatannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu.[30] Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Sungguh tipis kepercayaanmu kepada-Nya![31] Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu.[32] Kerunsingan ini dialami oleh orang yang tidak mengenal Allah. Bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.[33] Utamakanlah kerajaan Allah dan laksanakan kebenaran-Nya; Allah akan memberikan semua itu kepadamu.[34] Oleh itu, jangan runsing tentang hari esok, kerana hari esok akan runsing tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia