A A A A A

Tambahan: [Kanibalisme]


2 Korintus 5:8
Kami sentiasa yakin. Sebenarnya kami lebih suka jika dipisahkan dari tubuh ini dan tinggal bersama Tuhan.

Lukas 16:19-26
[19] ‘Ada seorang kaya yang berpakaian mahal-mahal dan hidup dalam kemewahan setiap hari.[20] Ada pula seorang peminta sedekah bernama Lazarus yang penuh dengan pekung. Dia selalu dibawa ke muka pintu rumah orang kaya itu.[21] Dia ingin mendapat sisa-sisa makanan yang dibuang dari meja orang kaya itu. Anjing pula datang menjilat pekung-pekungnya.[22] ‘Peminta sedekah itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Ibrahim di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan.[23] Dia menderita di alam maut. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Ibrahim jauh di sana dan Lazarus di sisinya.[24] Dia berseru, “Bapa Ibrahim, kasihanilah aku dan suruh Lazarus datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk menyejukkan lidahku kerana aku sengsara di dalam nyala api ini.”[25] ‘Tetapi Ibrahim berkata, “Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati kesenangan pada masa hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita.[26] Selain itu, terdapat satu jurang yang dalam di antara kami dengan kamu supaya orang yang hendak menyeberang dari sini kepada kamu tidak dapat berbuat demikian, dan orang dari sana tidak dapat menyeberang kepada kami.”

Wahyu 20:11-15
[11] Kemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi kedua-duanya.[12] Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan Allah, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat di dalam kitab-kitab itu.[13] Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing.[14] Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api.[15] Semua manusia yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.

1 Korintus 14:34-35
[34] wanita-wanita hendaklah berdiam diri dalam perhimpunan jemaah. Mereka tidak dibenarkan bercakap. Hendaklah mereka menurut perintah, sebagaimana tersurat dalam Taurat.[35] Jika mereka ingin mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka di rumah. Sungguh memalukan jika seorang wanita bersuara dalam perhimpunan jemaah.

Lukas 1:37
Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.

John 1:1
Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu adalah Allah.

1 Timothy 2:11-15
[11] Perempuan hendaklah belajar dengan senyap dan rendah hati.[12] Aku tidak membenarkan perempuan mengajar atau memerintah lelaki; dia harus berdiam diri[13] kerana Adam telah dicipta dahulu, kemudian barulah Hawa.[14] Dan bukan Adam yang terpedaya, tetapi perempuan itu yang terpedaya, lalu melakukan dosa.[15] Walaupun demikian, perempuan akan diselamatkan dengan melahirkan anak jika mereka tetap dalam iman, kasih, dan kesucian dengan penguasaan diri.

1 Timothy 5:3-16
[3] Hormati balu yang benar-benar hidup sebagai balu.[4] Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka terlebih dahulu mengamalkan kesalihan di rumah dan membalas budi orang tua mereka, kerana ini baik dan diredai Allah.[5] Seorang balu yang benar-benar hidup sendirian tanpa tempat bergantung hanya berharap kepada Allah dan berdoa siang malam.[6] Sebaliknya, seorang balu yang hidup berpelesiran sudahpun mati walaupun masih hidup.[7] Suruhlah mereka taati segala ini supaya mereka tidak bercela.[8] Sekiranya seseorang tidak menjaga sanak saudaranya, apatah lagi seisi rumahnya sendiri, maka dia menyangkal iman dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman.[9] Jangan masukkan ke dalam golongan balu mereka yang berusia di bawah enam puluh tahun. Seseorang boleh digolongkan sebagai balu hanya jika dia bersuami cuma sekali,[10] dan terkenal berbuat baik, seperti mengasuh anak-anak, menumpangkan orang luar di rumahnya, melayani orang salih dengan hormat, membantu orang dalam kesusahan, serta sentiasa membuat kebajikan.[11] Jangan masukkan balu muda ke dalam golongan ini kerana apabila nafsu mengatasi tumpuan mereka kepada al-Masih, mereka hendak berkahwin lagi[12] dan dengan demikian dicela kerana mereka telah melanggar ikrar mereka yang pertama.[13] Tambahan pula mereka belajar membuang masa merayau dari rumah ke rumah. Bukan itu sahaja, mereka mengumpat dan menjaga tepi kain orang, mengatakan apa yang tidak patut disebutkan.[14] Oleh yang demikian aku mahu balu muda berkahwin lagi, mendapat anak dan mengurus rumah tangga, supaya musuh tidak dapat memburukkan nama kita;[15] kerana ada yang telah berpaling menurut Iblis.[16] Sekiranya seseorang perempuan yang beriman mempunyai ahli keluarga yang kematian suami, dia harus menjaga mereka dan tidak membebani jemaah dengan tanggungjawab itu. Dengan demikian jemaah dapat membantu balu yang tidak ada tempat untuk bergantung.

1 Korintus 11:2-16
[2] Sekarang aku memujimu, saudara-saudaraku, kerana kamu mengingatiku dalam semua hal dan memelihara segala ajaran yang telah kusampaikan kepadamu.[3] Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah al-Masih, ketua wanita ialah lelaki dan ketua al-Masih ialah Allah.[4] Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya.[5] Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya.[6] Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala.[7] Seorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki.[8] Lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.[9] Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki.[10] Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.[11] Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan.[12] Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah.[13] Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala?[14] Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya?[15] Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung.[16] Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia