Pilihan Alkitab
Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

1 Korintus 11

1

Teladani aku, sebagaimana aku meneladani al-Masih.

2

Sekarang aku memujimu, saudara-saudaraku, kerana kamu mengingatiku dalam semua hal dan memelihara segala ajaran yang telah kusampaikan kepadamu.

3

Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah al-Masih, ketua wanita ialah lelaki dan ketua al-Masih ialah Allah.

4

Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya.

5

Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya.

6

Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala.

7

Seorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki.

8

Lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.

9

Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki.

10

Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.

11

Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan.

12

Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah.

13

Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala?

14

Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya?

15

Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung.

16

Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.

17

Dalam memberimu petunjuk-petunjuk berikut, aku tidak memujimu kerana apabila kamu berhimpun, bukan kebaikan tetapi keburukan yang timbul.

18

Pertama sekali, apabila kamu berhimpun sebagai satu jemaah, aku dengar kamu berkelompok-kelompok, dan aku percaya sebahagian yang kudengar.

19

Sememangnya di kalanganmu pasti terbentuk beberapa kelompok, sehingga mereka yang diperkenan Allah menjadi nyata.

20

Apabila kamu berhimpun di suatu tempat, bukanlah Perjamuan Tuhan yang kamu makan

21

kerana semua berebut hendak makan dahulu; sehingga ada yang lapar dan ada pula yang mabuk.

22

Apa! Tidakkah kamu mempunyai rumah untuk makan minum di dalamnya? Atau adakah kamu memandang hina jemaah Allah dan hendak memperkecil orang yang tidak mempunyai apa-apa? Apakah akan kukatakan kepadamu? Akan kupujikah kamu dalam hal ini? Tentunya tidak!

23

Aku telah menerima daripada Junjungan apa yang telah kusampaikan kepadamu: Bahawa pada malam Dia dikhianati, Junjungan Isa telah mengambil roti;

24

dan selepas mengucap syukur, Dia telah memecah-mecahkan roti itu lalu berkata, ‘Ambil, dan makanlah; ini tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.’

25

Demikian juga, Dia mengambil cawan makan malam itu sambil berkata, ‘Cawan Perjanjian Baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku,’

26

Kerana setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Junjungan hingga kedatangan-Nya.

27

Jika sesiapa makan roti atau minum dari cawan Tuhan ini secara yang tidak wajar, dia akan menanggung dosa terhadap tubuh dan darah Junjungan.

28

Hendaklah setiap orang memeriksa dirinya, dan kemudian makan roti itu dan minum dari cawan itu;

29

kerana jika seseorang memakannya dan meminumnya secara yang tidak wajar, dia makan dan minum akan penghukuman kepada dirinya, kerana tidak mengenal dan menghargai tubuh Tuhan.

30

Oleh sebab itu ada sebilangan besar yang lemah dan yang sakit di kalanganmu, malah ada yang meninggal dunia.

31

Jika kita menghakimi diri sendiri, tidaklah kita dihakimi.

32

Tetapi apabila kita dihakimi, kita dihukum oleh Tuhan supaya kita insaf, agar kita tidak dibinasakan bersama-sama dunia.

33

Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berhimpun untuk makan, tunggulah satu sama lain sebelum bermula.

34

Tetapi jika ada sesiapa yang lapar, makanlah dahulu di rumah, supaya perhimpunanmu tidak mendatangkan hukuman. Hal-hal lain akan kuatur ketika aku datang kelak.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia