Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Lukas 9

1

Isa memanggil dua belas pengikut-Nya itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit.

2

Dia menyuruh mereka pergi mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit.

3

Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg sedekah, baik makanan, baik wang atau lebih daripada sehelai pakaian.

4

Di rumah mana-mana pun kamu disambut, tinggallah di situ sehingga kamu meninggalkan bandar tersebut.

5

Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’

6

Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.

7

Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah hidup semula,

8

ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali.

9

Herodes berkata, ‘Yahya itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.’ Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.

10

Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida.

11

Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Isa menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.

12

Menjelang senja, dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.’

13

Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah memberi mereka makanan.’ Pengikut-pengikut itu berkata lagi, ‘Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.’

14

Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.’

15

Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.

16

Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.

17

Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.

18

Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’

19

Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’

20

Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’ Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’

21

Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;

22

dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’

23

Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.

24

Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.

25

Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?

26

Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Putera Insan juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci.

27

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa ada beberapa orang yang berdiri di sini yang tidak akan mengalami maut sebelum mereka melihat kerajaan Allah.’

28

Kira-kira lapan hari setelah Isa mengatakan perkara-perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa.

29

Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan.

30

Tiba-tiba dua orang muncul dan bercakap dengan-Nya.

31

Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kewafatan-Nya yang akan ditunaikan di Baitulmaqdis.

32

Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.

33

Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, ‘Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah: sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas.’ Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu.

34

Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.

35

Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, ‘Inilah Putera-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!’

36

Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.

37

Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa.

38

Seorang antaranya berseru, ‘Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.

39

Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.

40

Aku telah memohon pengikut-pengikut Tuan supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’

41

Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lamakah harus Aku bersama kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari.’

42

Semasa dia datang, roh durjana itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh durjana itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.

43

Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,

44

‘Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan orang.’

45

Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.

46

Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar.

47

Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya.

48

Isa berkata, ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menerima Aku; dan sesiapa yang menerima Aku menerima Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang rendah sekali hatinya antara kamu semua – dialah yang terbesar!’

49

Yahya berkata, ‘Tuan, kami telah melihat seorang yang mengusir roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.’

50

Isa berkata kepadanya, ‘Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.’

51

Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmaqdis.

52

Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa.

53

Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Baitulmaqdis.

54

Ketika Yakobus dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, ‘Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?’

55

Isa berpaling dan memarahi mereka.

56

Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.

57

Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, ‘Aku hendak mengikut Engkau ke mana sahaja Engkau pergi.’

58

Isa berkata kepadanya, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya tetapi Putera Insan tiada tempat untuk meletakkan kepalanya.’

59

Isa berkata kepada seorang yang lain, ‘Ikutlah Aku.’ Tetapi dia menjawab, ‘Biarlah aku pergi mengebumikan jenazah bapaku dahulu.’

60

Isa berkata kepadanya, ‘Biarlah orang mati mengebumikan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah menyampaikan perkhabaran tentang kerajaan Allah.’

61

Seorang lain pula berkata, ‘Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.’

62

Isa berkata kepadanya, ‘Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia