Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Lukas 8

1

Tidak lama kemudian, Isa pergi dari bandar ke bandar dan dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah. Dua belas pengikut itu pergi bersama-Nya.

2

Begitu juga beberapa orang perempuan yang telah disembuhkan daripada kerasukan roh iblis dan daripada berbagai-bagai penyakit, iaitu Maryam (yang disebut orang Magdala) yang daripadanya telah diusir tujuh roh iblis;

3

Yoana, isteri Khuza, pegawai istana Raja Herodes; Susana dan ramai perempuan lain yang menggunakan harta benda mereka untuk membantu Isa serta pengikut-pengikut-Nya.

4

Ketika orang ramai sedang berkumpul, dan orang dari beberapa buah bandar terus-menerus datang kepada-Nya, Dia menceritakan suatu ibarat:

5

‘Seorang penabur pergi menabur benihnya. Ketika dia menabur, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dipijak orang dan dimakan burung.

6

Ada yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah tumbuh, tanaman itu menjadi layu kerana tanah kekurangan air.

7

Ada pula jatuh di tengah-tengah semak duri lalu duri yang tumbuh bersama-sama membantutkan pertumbuhannya.

8

Tetapi ada benih yang jatuh di tanah yang baik lalu tumbuh dan mengeluarkan hasil seratus ganda banyaknya.’ Kemudian Isa berseru, ‘Orang yang bertelinga, baiklah dia mendengar.’

9

Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Apakah erti ibarat ini?’

10

Isa berkata, ‘Pengetahuan rahsia kerajaan Allah telah diberikan kepadamu, tetapi orang lain harus diberitahu dengan menggunakan ibarat supaya,‘ “mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti.”

11

‘Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah.

12

Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan.

13

Benih yang jatuh di tempat berbatu itu menggambarkan mereka yang mendengar dan menyambut firman itu dengan gembira tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka itu hanya percaya untuk sementara waktu dan apabila waktu dicubai mereka akan meninggalkan kepercayaan mereka.

14

Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu menggambarkan mereka yang telah mendengarnya, tetapi dalam hidup mereka sehari-hari mereka terhimpit oleh kekhuatiran dan kekayaan serta kesenangan hidup lalu mereka tidak mengeluarkan buah dengan sempurna.

15

Benih yang jatuh di tanah yang baik menggambarkan mereka yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan ketekunan mereka terus mengeluarkan buah.

16

‘Tiada seorang pun memasang pelita lalu menudungnya dengan sebuah pasu atau meletakkannya di bawah katil. Tetapi dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya cahayanya kelihatan kepada orang yang masuk ke ruang itu.

17

Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak didedahkan kelak; tiada sesuatu rahsia pun yang tidak diketahui kelak.

18

Oleh sebab itu, berhati-hatilah bagaimana kamu mendengar. Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang disangka ada padanya pun akan diambil daripadanya.’

19

Ibu Isa dan adik-beradik-Nya datang kepada-Nya tetapi mereka tidak dapat bertemu dengan-Nya kerana kesesakan orang ramai.

20

Isa diberitahu, ‘Ibu dan adik-beradik-Mu berada di luar dan hendak bertemu dengan-Mu.’

21

Isa menjawab kepada mereka, ‘Ibu-Ku dan adik-beradik-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.’

22

Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah kita pergi ke seberang tasik.’ Lalu mereka bertolak.

23

Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.

24

Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, ‘Tuan, Tuan, kita hampir tenggelam!’ Isa bangun lalu memarahi angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang.

25

Isa berkata kepada mereka, ‘Di manakah imanmu?’ Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini sehingga angin dan ombak pun menurut perintah-Nya?’

26

Mereka belayar ke wilayah Gerasa yang di seberang Galilea.

27

Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.

28

Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, ‘Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.’

29

Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh durjana itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh durjana itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh durjana ke padang gurun.

30

Isa bertanya kepadanya, ‘Siapakah namamu?’ Dia menjawab, ‘Legion’ kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis.

31

Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.

32

Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.

33

Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.

34

Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.

35

Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Isa. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.

36

Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan.

37

Lalu semua penduduk wilayah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang.

38

Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang

39

dan berkata, ‘Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.’ Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Isa untuknya di seluruh bandar itu.

40

Sekembalinya Isa ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya.

41

Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Isa dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya

42

kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Semasa Isa berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua sudut.

43

Terdapat seorang perempuan yang mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapapun.

44

Perempuan itu datang dari belakang Isa dan menyentuh kaki jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh.

45

Isa berkata, ‘Siapakah yang menyentuh Aku?’ Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, ‘Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.’

46

Tetapi Isa berkata, ‘Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.’

47

Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga.

48

Isa berkata kepadanya, ‘Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’

49

Sementara Isa masih berkata-kata, seorang utusan datang dari rumah ketua saumaah dan berkata kepada ketua itu, ‘Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.’

50

Isa mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, ‘Janganlah takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.’

51

Apabila sampai ke rumah itu, Isa tidak membenarkan sesiapapun masuk bersama-sama selain Petrus, Yahya dan Yakobus serta ibu bapa budak itu.

52

Semua orang menangis dan meratapi kematian budak itu. Isa berkata, ‘Janganlah menangis. Dia bukan mati, dia cuma tidur.’

53

Mereka mengetawakan Isa kerana mereka mengetahui anak itu telah mati.

54

Tetapi Isa memegang tangan budak itu dan berseru, ‘Anak-Ku, bangunlah!’

55

Nyawa budak itu kembali dan dia bangun seketika itu juga. Lalu Isa menyuruh mereka memberi budak itu makanan.

56

Ibu bapanya kagum tetapi Isa melarang mereka mengatakan apa-apa tentang kejadian itu kepada sesiapapun.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia