Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Lukas 6

1

Pada hari Sabat Isa berjalan melalui ladang-ladang gandum dan pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya.

2

Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu membuat sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?’

3

Isa menjawab, ‘Belumkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan pasukannya berasa lapar?

4

Dia masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan lalu mengambil dan memakan Roti Persembahan lalu memberikannya kepada mereka yang ada bersamanya. Roti Persembahan itu dilarang dimakan kecuali oleh imam-imam sahaja.’

5

Isa menambah, ‘Putera Insan berkuasa atas hari Sabat.’ Orang yang tangannya lumpuh sebelah

6

Pada suatu hari Sabat yang lain, Isa masuk ke dalam saumaah lalu mengajar orang. Terdapat di situ seorang yang lumpuh tangan kanannya.

7

Guru-guru Taurat dan orang Farisi mengawasi Isa untuk melihat sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat kerana mereka hendak mencari alasan untuk menuduh-Nya.

8

Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, ‘Bangunlah dan berdiri di sini.’ Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.

9

Isa berkata kepada mereka, ‘Aku bertanya kepadamu apa yang dibenarkan oleh hukum kita untuk dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan nyawa orang atau membinasakannya?’

10

Isa memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu berbuat demikian dan tangannya pun sembuh.

11

Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dibuat terhadap Isa.

12

Pada masa itu Isa naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah.

13

Setelah hari siang, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul:

14

Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas adiknya, Yakobus dan Yahya, Filipus dan Bartolomeus,

15

Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,

16

Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pembelot.

17

Isa turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata dengan ramai pengikut-Nya. Ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Baitulmaqdis dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon

18

telah datang untuk mendengar Isa dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh durjana turut datang dan mereka juga disembuhkan.

19

Semua orang cuba menyentuh Isa kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya untuk menyembuhkan mereka semua.

20

Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata:‘Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.

21

Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dikenyangkan. Diberkatilah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersuka ria.

22

Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan mengutuk kamu kerana Putera Insan.

23

‘Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melonjak keriangan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Demikian juga perbuatan nenek moyang mereka terhadap nabi-nabi.

24

‘Tetapi malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang.

25

Malangnya kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Malangnya kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.

26

Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.

27

‘Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata demikian: Kasihilah seterumu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu;

28

berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu.

29

Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga.

30

Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu.

31

Berbuatlah kepada orang lain seperti yang kamu ingin mereka berbuat kepadamu.

32

‘Jikalau kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.

33

Dan jikalau kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat begitu.

34

Jikalau kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.

35

Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang zalim.

36

Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.

37

‘Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.

38

Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah keluar akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan terhadap kamu.’

39

Kemudian Isa memberitahu suatu ibarat lagi. ‘Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang?

40

Seorang murid tidak melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.

41

‘Mengapakah engkau memandang selumbar yang ada di dalam mata saudaramu, tetapi engkau tidak menyedari sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri?

42

Bagaimanakah engkau dapat berkata kepada saudaramu, “Saudara, biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu” sedangkan engkau tidak nampak sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri? Munafik! Buangkan kayu itu daripada matamu sendiri dahulu, barulah engkau dapat melihat dengan terang untuk mengeluarkan selumbar yang ada di dalam mata saudaramu.

43

‘Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.

44

Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri.

45

Orang yang baik mengeluarkan perkara yang baik daripada hati yang berlimpah-limpah dengan kebaikan; orang yang jahat mengeluarkan perkara yang jahat daripada hati yang penuh dengan kejahatan. Seseorang akan meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya.

46

‘Mengapakah kamu memanggil Aku, “Ya Junjungan, ya Junjungan,” tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?

47

Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta mentaati kata-kata-Ku.

48

Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.

49

Akan tetapi, orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak mahu mematuhinya umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan roboh dan kerosakannya besar sekali.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia