Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Lukas 23

1

Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Isa menghadap Pilatus.

2

Mereka mula menuduh Dia, ‘Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya al-Masih, seorang raja!’

3

Pilatus bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’

4

Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, ‘Aku tidak mendapati-Nya bersalah.’

5

Tetapi mereka semakin mendesak, ‘Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.’

6

Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Isa seorang Galilea.

7

Ketika Pilatus mengetahui Isa berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Isa dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Baitulmaqdis.

8

Apabila Isa dibawa kepada Herodes, dia sangat sukacita. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Isa kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Isa. Lagi pun, dia berharap dapat menyaksikan Isa melakukan mukjizat.

9

Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Isa tetapi Isa tidak menjawab sepatah kata pun.

10

Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Isa.

11

Herodes dan askar-askarnya menghina Isa dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus.

12

Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.

13

Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai

14

lalu berkata kepada mereka, ‘Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu.

15

Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati.

16

Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.’

17

Pada setiap perayaan Paska Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.

18

Tetapi semua orang berteriak, ‘Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.’

19

(Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)

20

Pilatus hendak membebaskan Isa. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi.

21

Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’

22

Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: ‘Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.’

23

Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Isa disalib. Akhirnya, mereka berjaya.

24

Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.

25

Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Isa diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.

26

Ketika askar-askar membawa Isa ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Isa dan berjalan di belakang-Nya.

27

Ramai orang mengikut Isa; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya.

28

Isa berpaling kepada mereka lalu berkata, ‘Kaum perempuan Baitulmaqdis, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri.

29

Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, “Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!”

30

Pada masa itulah’ “mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbusi kami!’”

31

‘Jikalau perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?’

32

Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Isa.

33

Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, ‘Tengkorak,’ mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.

34

Isa berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.’ Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.

35

Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-ngejek-Nya, ‘Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.’

36

Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya

37

lalu berkata, ‘Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu.’

38

Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: ‘INILAH RAJA ORANG YAHUDI.’

39

Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula menghina Isa. Dia berkata, ‘Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!’

40

Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, ‘Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.

41

Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.’

42

Dia berkata kepada Isa, ‘Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.’

43

Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.’

44

Ketika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pukul tiga petang kerana matahari gerhana.

45

Tirai yang tergantung di dalam rumah ibadat pun koyak terbelah dua.

46

Isa berseru dengan suara yang kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Isa berkata demikian, Dia pun wafat.

47

Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, ‘Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.’

48

Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.

49

Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

50

Terdapat seorang yang bernama Yusuf. Dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan berakhlak tinggi. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah.

51

Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu.

52

Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Isa.

53

Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengkafankannya lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.

54

Hari itu ialah hari Jumaat, dan hari Sabat hampir bermula.

55

Perempuan-perempuan yang telah mengikut Isa dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Isa diletakkan di dalamnya.

56

Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Isa. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia