|
|
|
|
|
|
Perjanjian Baru
|
|
|
|
Malaysian Bible 2008
|
|
|
|
1 |
Pada masa itu Kaisar Augustus menitahkan penduduk di seluruh kerajaan Rom dibanci. |
2 |
Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. |
3 |
Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri. |
4 |
Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nasaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. |
5 |
Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maryam, tunangnya yang sedang hamil. |
6 |
Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. |
7 |
Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan. |
8 |
Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. |
9 |
Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. |
10 |
Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. |
11 |
Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu. |
12 |
Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.’ |
13 |
Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan besar dari syurga yang memuji-muji Allah: |
14 |
‘Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.’ |
15 |
Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.’ |
16 |
Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung. |
17 |
Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. |
18 |
Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; |
19 |
tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya. |
20 |
Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka. |
21 |
Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam. |
22 |
Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Baitulmaqdis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. |
23 |
Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. |
24 |
Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati. |
25 |
Pada masa itu ada seorang di Baitulmaqdis yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan bertakwa kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia diasertai Roh Suci. |
26 |
Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan. |
27 |
Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam rumah ibadat. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, |
28 |
Simeon mendukung Dia dan bersyukur kepada Allah lalu berkata: |
29 |
‘Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu: |
30 |
kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu |
31 |
yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa, |
32 |
satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.’ |
33 |
Ibu bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu. |
34 |
Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, ‘Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang |
35 |
supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.’ |
36 |
Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun |
37 |
dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan rumah ibadat, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. |
38 |
Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Baitulmaqdis. |
39 |
Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nasaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea. |
40 |
Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Tuhan ada pada-Nya. |
41 |
Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Baitulmaqdis untuk menyambut perayaan Paska. |
42 |
Ketika Isa berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa. |
43 |
Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Isa, anak mereka itu tertinggal di Baitulmaqdis dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu. |
44 |
Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Isa di kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka. |
45 |
Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Baitulmaqdis untuk mencari-Nya. |
46 |
Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Isa di dalam rumah ibadat. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan. |
47 |
Semua orang yang mendengar Isa kagum akan pengertian dan jawapan-Nya. |
48 |
Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, ‘Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.’ |
49 |
Lalu Isa menjawab, ‘Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?’ |
50 |
Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka. |
51 |
Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nasaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya. |
52 |
Isa semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai oleh Allah dan manusia. |
Malaysian Bible 2008 |
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia |