Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Lukas 19

1

Isa meneruskan perjalanan ke Yerikho dan melalui kota itu.

2

Di situ ada seorang yang bernama Zakheus. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya.

3

Dia cuba hendak melihat siapa Isa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu ramai dan dia pendek orangnya.

4

Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Isa yang akan melalui jalan itu.

5

Apabila Isa sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, ‘Zakheus, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.’

6

Zakheus turun dengan segera dan menyambut Isa dengan sukacitanya.

7

Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, ‘Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!’

8

Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Junjungan, ‘Tuan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jikalau aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda.’

9

Isa berkata kepadanya, ‘Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seluruh keluarga kamu kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim.

10

Putera Insan datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.’

11

Isa menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba ke Baitulmaqdis dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi.

12

Jadi, Isa berkata: ‘Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali.

13

Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi masing-masing sekeping wang emas dan berkata kepada mereka, “Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.”

14

‘Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, “Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.”

15

‘Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing.

16

‘Yang pertama menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi sepuluh kali lebih banyak.”

17

‘Tuan itu berkata kepadanya, “Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.”

18

‘Yang kedua menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi lima kali lebih banyak.”

19

‘Tuan itu berkata kepadanya, “Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.”

20

‘Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, “Tuan inilah wang emas tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain.

21

Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.”

22

‘Tuan itu berkata, “Hamba yang tidak berguna! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan.

23

Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.”

24

‘Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ambillah keping wang itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang ada sepuluh keping wang emas itu.”

25

‘Mereka pun berkata kepadanya, “Tuan, dia sudah ada sepuluh keping.”

26

‘Tuan itu berkata, “Orang yang sedia ada akan diberi lebih banyak, dan orang yang tidak mempunyai sesuatu akan diambil barang yang ada padanya.

27

Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.” ’

28

Setelah Isa berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Baitulmaqdis.

29

Apabila Dia mendekati Baitfagi dan Baitani di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya dengan berkata kepada mereka,

30

‘Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk ke kampung itu, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Anak keldai itu belum pernah ditunggangi orang. Lepaskan keldai itu dan bawa ke mari.

31

Jikalau ada orang bertanya kepadamu, “Mengapakah kamu melepaskan keldai?” kamu hendaklah berkata kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” ’

32

Kedua-dua pengikut itu pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Isa kepada mereka.

33

Ketika mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?’

34

Pengikut-pengikut itu menjawab, ‘Junjungan memerlukannya.’

35

Lalu mereka membawanya kepada Isa. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan menolong Isa naik ke atasnya.

36

Ketika Isa menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan.

37

Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka:

38

‘Diberkatilah Raja yang datang dengan nama Tuhan!’‘Kesejahteraan di syurga dan kemuliaan di tempat yang maha tinggi!’

39

Antara orang ramai itu ada beberapa orang Farisi yang berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, suruh pengikut-pengikut-Mu diam.’

40

Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu bahawa jikalau mereka diam, batu-batu pula akan bersorak.’

41

Ketika Isa menghampiri Baitulmaqdis dan melihat kota itu, Dia pun menangisinya,

42

lalu berkata, ‘Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa sejahtera kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu.

43

Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingimu dengan sekatan, mengepung dan mengasakmu dari semua arah.

44

Mereka akan membinasakanmu dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul batu pun di tempatnya kerana kamu tidak mengetahui masanya Allah datang kepadamu.’

45

Isa masuk ke dalam rumah ibadat lalu mengusir semua pedagang di situ.

46

Dia berkata kepada mereka, ‘Telah tersurat, “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa”; tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’

47

Setiap hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan para pemimpin mereka mencari jalan untuk membunuh-Nya

48

tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana orang ramai terus-menerus datang mendengar Isa dan mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Isa pun.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia