Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Mark 8

1

Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata,

2

‘Aku kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.

3

Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.’

4

Para pengikut Isa menjawab, ‘Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari makanan yang cukup untuk semua orang ini?’

5

Isa bertanya kepada mereka, ‘Berapa banyakkah roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ jawab mereka.

6

Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk dihidangkan, dan mereka pun memberikannya kepada orang yang banyak itu.

7

Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Isa menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga.

8

Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.

9

Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Isa pun menyuruh mereka pulang.

10

Selepas itu Isa terus menaiki perahu bersama para pengikut-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.

11

Beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan mula bersoal jawab dengan-Nya untuk memerangkap-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta daripada-Nya suatu tanda ajaib dari syurga.

12

Isa mengeluh lalu menjawab, ‘Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tidak akan diberikan tanda apapun kepada orang zaman ini.’

13

Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.

14

Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.

15

Isa mengingatkan mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.’

16

Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’

17

Isa mengetahui apa yang mereka bincangkan lalu Dia bertanya, ‘Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah fikiranmu?

18

Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat

19

bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Dua belas,’ jawab mereka.

20

‘Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Tujuh,’ jawab mereka.

21

Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu masih belum faham lagi?’

22

Isa dan para pengikut-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya.

23

Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, ‘Adakah kamu melihat apa-apa?’

24

Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, ‘Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.’

25

Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.

26

Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, ‘Jangan masuk lagi ke pekan itu.’

27

Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Isa bertanya kepada mereka, ‘Menurut orang, Aku ini siapa?’

28

Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata, Yahya Pengimad; yang lain berkata, Ilyas; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.’

29

‘Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?’ tanya Isa. Petrus menjawab, ‘Engkau ialah al-Masih.’

30

Lalu Isa mengingatkan mereka supaya jangan memberitahu sesiapapun tentang diri-Nya.

31

Kemudian Isa mula mengajar mereka bahawa Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula.

32

Isa mengatakan perkara ini dengan terus-terang. Oleh itu, Petrus menarik Isa ke tepi dan menegur Dia.

33

Isa berpaling memandang para pengikut-Nya lalu menegur Petrus, ‘Pergilah dari sini, hai Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.’

34

Setelah itu Isa memanggil para pengikut-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, ‘Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus melupakan kepentingan dirinya, memikul salib, dan mengikut-Ku.

35

Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu.

36

Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya?

37

Dapatkah hidup itu ditukar dengan apapun?

38

Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku di kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Putera Insan juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia