Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Mark 7

1

Orang Farisi dan beberapa guru Taurat yang datang dari Baitulmaqdis berkumpul di keliling Isa.

2

Mereka melihat beberapa pengikut Isa makan dengan tangan yang ‘tidak suci’, iaitu tangan yang tidak dibasuh.

3

(Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan.

4

Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)

5

Oleh itu, orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Isa, ‘Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang “tidak suci”?’

6

Isa menjawab, ‘Tepat sekali kata-kata Nabi Yasyaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat: ‘ “Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.

7

Sia-sialah mereka menyembah-Ku; sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah peraturan manusia.”

8

‘Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia.’

9

Isa berkata lagi: ‘Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri!

10

Musa menyampaikan perintah ini, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.”

11

Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Segala apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan emak, sudah kujadikan korban” (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah),

12

maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa.

13

Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.’

14

Isa memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, ‘Kamu semua, dengarlah supaya kamu faham.

15

Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya.

16

Jika kamu bertelinga, dengarlah!’

17

Setelah Isa meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu.

18

Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya?

19

Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.’ (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)

20

Kata-Nya lagi: ‘Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya

21

kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh,

22

berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh.

23

Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.’

24

Kemudian Isa pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.

25

Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh durjana telah mendengar tentang Isa lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya.

26

Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Isa menghalau roh iblis yang merasuk anaknya.

27

Isa menjawab, ‘Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut makanannya diambil untuk dilemparkan kepada anjing.’

28

‘Benar, Tuan,’ jawab wanita itu, ‘tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.’

29

Maka Isa berkata kepadanya, ‘Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.’

30

Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.

31

Selepas itu Isa meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota.

32

Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Isa meletakkan tangan padanya.

33

Isa membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu.

34

Selepas itu Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, ‘Effata!’ (ertinya ‘Terbukalah!’).

35

Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik.

36

Isa melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapapun. Tetapi semakin Isa melarang, semakin mereka menceritakannya.

37

Mereka sungguh hairan dan berkata, ‘Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia