Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Mark 14

1

Dua hari lagi akan tibalah perayaan Paska dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat mencari jalan untuk memerangkap Isa secara tipu daya dan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.

2

Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah pada waktu perayaan, takut orang akan merusuh.’

3

Ketika itu Isa berada di Baitani di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Isa duduk di meja, seorang wanita datang membawa bejana pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Isa.

4

Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, ‘Mengapa dibazirkan minyak wangi ini?

5

Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang perak dan wangnya diberikan kepada orang miskin.’ Mereka mengecam wanita itu dengan kata-kata yang tajam.

6

Tetapi Isa berkata, ‘Biarkan dia. Mengapa kamu memarahinya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.

7

Orang miskin akan sentiasa ada di kalanganmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidak akan sentiasa ada bersamamu.

8

Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia telah datang terlebih dahulu untuk menyediakan tubuhku bagi pengebumian.

9

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana sahaja Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan diceritakan juga sebagai kenangan kepadanya.’

10

Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka.

11

Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari jalan yang terbaik untuk mengkhianati Isa.

12

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paska, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paska untuk-Mu?’

13

Dia menghantar dua orang pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, ‘Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia.

14

Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, “Tuan Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paska dengan para pengikut-Ku?”

15

Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.’

16

Kedua-dua pengikut-Nya itu keluar, pergi ke dalam kota, dan mendapati segala-galanya tepat seperti yang telah dikatakan-Nya kepada mereka. Mereka pun menyediakan jamuan Paska.

17

Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama para pengikut-Nya yang dua belas itu.

18

Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.’

19

Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, ‘Akukah orang itu?’

20

Isa menjawab, ‘Dia seorang daripada yang dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas.

21

Putera Insan memang mesti pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Putera Insan! Lebih baiklah baginya jika dia tidak dilahirkan ke dunia ini.’

22

Sedang mereka makan, Isa mengambil roti lalu memberkatinya dan kemudian membahagikannya kepada mereka dan berkata, ‘Ambil, makanlah, ini tubuh-Ku.’

23

Kemudian dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum darinya.

24

Dia berkata kepada mereka, ‘Ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk beberapa ramai manusia.

25

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hingga Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.’

26

Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka keluar ke Bukit Zaitun.

27

Isa berkata kepada mereka, ‘Malam ini, iman kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang tersurat:‘ “Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”

28

‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahuluimu pergi ke Galilea.’

29

Petrus berkata kepadanya, ‘Kalaupun semua yang lain goyah imannya, aku tidak akan goyah.’

30

Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’

31

Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu.’ Semua yang lain pun berkata demikian.

32

Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa.’

33

Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yahya bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan amat terseksa.

34

Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.’

35

Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu sujud di tanah, dan berdoa kiranya dapat semoga saat itu diedarkan daripada-Nya.

36

Kata-Nya, ‘Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun, berlakulah kehendak-Mu, bukan kehendak-Ku.’

37

Kemudian dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Simon, kamu tidur? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga?

38

Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’

39

Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama.

40

Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya.

41

Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Putera Insan sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa.

42

Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!’

43

Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas itu iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua.

44

Pengkhianat Isa telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: ‘Sesiapa yang kucium, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.’

45

Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Isa sambil berkata, ‘Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya.

46

Mereka pun menangkap-Nya dan membawa-Nya pergi.

47

Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga terputus telinganya.

48

Isa berkata kepada mereka, ‘Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi?

49

Setiap hari Aku di kalanganmu, mengajar di rumah ibadat, tidak kamu tangkap. Tetapi yang tersurat di dalam Kitab Suci mesti berlaku.’

50

Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya dan melarikan diri masing-masing.

51

Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya,

52

lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.

53

Isa dibawa kepada Imam Besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan guru-guru Taurat.

54

Petrus mengikut Isa dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah Imam Besar, dan duduk di kalangan hamba-hamba, berdiang di situ.

55

Ketua-ketua imam dan semua ahli Majlis Agama berusaha mencari kesaksian untuk mendakwa Isa, tetapi tidak berjaya.

56

Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah.

57

Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata,

58

‘Kami telah mendengar Dia berkata, “Aku akan membinasakan rumah ibadat yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina rumah ibadat yang diperbuat tanpa tangan.” ’

59

Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah.

60

Imam Besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Isa, ‘Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang disaksikan oleh mereka ini terhadap-Mu?’

61

Tetapi Isa berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam Besar itu bertanya lagi kepada-Nya, ‘Adakah Kamu al-Masih, Putera Allah Maha Suci?’

62

Isa menjawab, ‘Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Putera Insan duduk di kanan Allah Maha Kuasa, dan datang dengan awan syurga.’

63

Imam Besar lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Adakah kita perlukan saksi lagi?

64

Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?’ Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh.

65

Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, ‘Bernubuatlah!’ Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.

66

Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan Imam Besar datang ke situ.

67

Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, ‘Kamu juga bersama Isa orang Nasaret.’

68

Petrus menyangkal, katanya, ‘Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.’ Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok.

69

Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ini seorang daripada mereka.’

70

Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, ‘Tentu sekali kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea. Ini nyata daripada cara percakapanmu.’

71

Petrus mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!’

72

Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya: ‘Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Memikirkan perkara itu, Petrus menangis.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia