Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Mark 11

1

Apabila mereka sudah berhampiran Baitulmaqdis, di Baitfagi dan Baitani, di Bukit Zaitun, Isa mengutus dua orang pengikut-Nya,

2

kata-Nya, ‘Pergilah ke kampung yang setentang denganmu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari.

3

Jika sesiapa bertanya kepadamu, “Mengapa kau berbuat demikian?” katakan, “Junjungan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.” ’

4

Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya.

5

Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?’

6

Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Isa, lalu mereka dibenarkan pergi.

7

Mereka membawa anak keldai itu kepada Isa dan meletakkan jubah mereka di atas belakangnya. Isa pun duduk di atas belakang anak keldai itu.

8

Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan-dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan.

9

Setelah itu mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru,‘Hosana!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’

10

‘Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud! Yang datang dengan nama Allah!’ ‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’

11

Isa masuk ke Baitulmaqdis dan terus masuk ke dalam rumah ibadat. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Baitani dengan pengikut-Nya yang dua belas itu.

12

Esoknya, setelah mereka keluar dari Baitani, Isa berasa lapar.

13

Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara.

14

Oleh itu Isa berkata kepada pokok itu, ‘Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.’ Para pengikut-Nya mendengar kata-kata itu.

15

Apabila sampai di Baitulmaqdis, Isa masuk ke rumah ibadat. Dia menghalau keluar orang yang berjual beli di dalam rumah ibadat, dan menterbalikkan meja para pengurup wang serta tempat duduk penjual burung merpati.

16

Dia tidak membenarkan siapapun mengangkat barangan melalui rumah ibadat.

17

Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, ‘Tidakkah tersurat:‘ “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa.”? ‘Tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’

18

Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Isa, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya.

19

Setelah lewat petang, Isa keluar dari kota itu.

20

Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya.

21

Petrus teringat lalu berseru, ‘Tuan Guru, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.’

22

Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Berimanlah kepada Allah.

23

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, “Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,” tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu.

24

Oleh itu Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta ketika berdoa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya.

25

Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu.

26

Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.’

27

Selepas itu mereka masuk semula ke Baitulmaqdis. Sedang Dia berjalan di dalam rumah ibadat, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya.

28

Mereka berkata kepada-Nya, ‘Dengan kekuasaan apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapa yang memberi-Mu kekuasaan untuk melakukannya?’

29

Tetapi Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.

30

Pengimadan Yahya – adakah daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!’

31

Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Kalau kita berkata, “Daripada syurga”, nanti kata-Nya, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?”

32

Tetapi, kalau kita berkata, “Daripada manusia”...’ (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yahya seorang nabi.)

33

Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’ Lalu Isa berkata, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia