Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Matthew 3

1

Pada masa itu Yahya Pengimad menyampaikan berita ini di gurun di Yudea.

2

Dia berseru, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’

3

Yahyalah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yasyaya:‘Suara seorang berseru di gurun: “Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskan jalan untuk-Nya.” ’

4

Pakaian Yahya diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.

5

Orang dari Baitulmaqdis, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yahya.

6

Mereka mengaku dosa lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.

7

Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk diimadkan. Apabila melihat mereka, Yahya berkata, ‘Hai orang durjana! Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah kelak?

8

Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat.

9

Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, “Ibrahim moyang kami.” Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Ibrahim!

10

Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akar umbinya. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.

11

‘Aku mengimadkanmu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan mengimadkanmu dengan Roh Suci dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak.

12

Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang dan membakar sekam di dalam api yang tidak mungkin padam.’

13

Ketika itu Isa meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia berjumpa dengan Yahya dan meminta diimadkan olehnya.

14

Yahya cuba menolak dengan berkata, ‘Sepatutnya Engkau yang mengimadkanku. Ini Engkau pula datang kepadaku!’

15

Tetapi Isa menjawab, ‘Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala kebenaran.’ Yahya pun patuh.

16

Setelah diimadkan, Isa keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya.

17

Kemudian kedengaran suara Allah berfirman, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia