Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Matthew 22

1

Isa bercakap lagi kepada orang ramai melalui ibarat.

2

Dia berkata, ‘Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk anak lelakinya.

3

Raja menitahkan hamba-hambanya menjemput orang ke majlis jamuan itu tetapi mereka enggan hadir.

4

‘Kemudian raja itu menghantar lagi hamba-hambanya yang lain. Titah raja itu, “Katakan kepada mereka, lembu yang terbaik telah disembelih, semuanya sudah siap, datanglah ke majlis perkahwinan.”

5

‘Tetapi orang yang diundang tidak ambil peduli, masing-masing sibuk dengan kerjanya. Ada yang ke ladang, ada yang ke kedai.

6

Manakala yang lain menangkap hamba-hamba itu lalu mendera dan membunuh mereka.

7

Raja pun teramat murka lalu menitahkan tenteranya menghapuskan semua pembunuh itu dan membakar kota mereka.

8

‘Setelah itu raja memanggil hamba-hambanya dan berkata, “Majlis perkahwinan sudah siap tetapi orang yang diundang tidak layak menghadirinya.

9

Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemput seramai mungkin orang yang kamu temui ke majlis perkahwinan ini.”

10

Hamba-hamba raja itu pun pergi ke jalan raya lalu mengumpulkan semua orang yang ditemui, tidak kira baik atau pun jahat, maka penuh sesaklah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.

11

‘Raja itu masuk melihat para tetamunya. Dilihatnya seorang yang tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan.

12

Raja berkata kepadanya, “Bagaimana engkau dapat masuk ke sini dengan tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan?” Orang itu terdiam.

13

‘Raja itu pun berkata kepada hamba-hambanya, “Ikat kaki dan tangan orang ini, buangkan dia ke kegelapan di luar. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”

14

‘Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.’

15

Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Isa dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya.

16

Mereka menghantar para pengikut mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Isa dan berkata, ‘Tuan Guru, kami tahu Engkau ikhlas, dan terus-terang mengajarkan kehendak Allah berdasarkan yang benar kepada manusia. Engkau tidak takut kepada sesiapapun kerana Engkau tidak pilih kasih.

17

Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Haruskah kita membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?’

18

Isa mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, ‘Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku?

19

Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.’ Mereka memberikan mata wang itu kepada Isa.

20

Isa bertanya kepada mereka, ‘Gambar dan nama siapakah ini?’

21

‘Kaisar,’ jawab mereka. Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.’

22

Mereka tercengang mendengar kata-kata Isa, lalu pergi dari situ.

23

Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang mendapatkan Isa. Menurut kepercayaan golongan ini, orang mati tidak akan bangkit semula.

24

Mereka berkata, ‘Tuan Guru, ajaran Musa begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk mendapatkan zuriat.

25

Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya.

26

Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh.

27

Akhirnya wanita itu meninggal dunia.

28

Pada hari kebangkitkan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuh saudara itu telah berkahwin dengannya.’

29

Isa menjawab, ‘Tanggapanmu salah sama sekali. Kamu tidak memahami Kitab Suci dan kuasa Allah.

30

Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga. Mereka tidak berkahwin.

31

Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah:

32

“Akulah Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Oleh itu, Dia Allah Tuhan orang hidup, bukan Allah Tuhan orang mati.’

33

Orang ramai kagum mendengar ajaran Isa.

34

Apabila orang Farisi mendengar betapa Isa menyebabkan orang Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul.

35

Seorang guru Taurat antara mereka cuba memerangkap Isa dengan suatu soalan:

36

‘Tuan Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?’

37

Isa menjawab, ‘ “Kasihilah Allah, Tuhanmu dengan sepenuh hati, dengan sepenuh jiwa dan dengan sepenuh fikiranmu.”

38

Inilah perintah yang terutama dan terpenting.

39

Perintah kedua sama pentingnya: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”

40

Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.’

41

Isa bertanya kepada orang Farisi yang berkumpul itu:

42

‘Apa pendapatmu tentang al-Masih? Anak siapakah Dia?’ ‘Anak Daud,’ jawab mereka.

43

‘Kalau begitu, mengapakah Daud, ketika diilhami Roh Suci, menyebut-Nya “Junjungan”? Daud berkata,

44

“Tuhan telah berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di kanan-Ku, sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’”

45

‘Jika Daud menyebut Dia yang diutus oleh Allah itu “Junjungan,” bagaimana mungkin Dia itu anak Daud?’

46

Tidak seorang pun terjawab soalan Isa. Sejak hari itu, tiada siapa berani menanya Isa apa-apa.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia