Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Matthew 21

1

Ketika hampir mendekati Baitulmaqdis, Isa dan para pengikut-Nya sampai di Baitfagi, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Kemudian Isa menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi ke situ terlebih dahulu.

2

Dia berkata, ‘Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu memasukinya, kamu akan melihat seekor keldai tertambat, serta anaknya. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku.

3

Sekiranya ada orang berkata apa-apa, katakan kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” Dia akan terus membenarkan kedua-dua keldai itu dibawa pergi.’

4

Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi:

5

‘Katakanlah kepada puteri Sion, “Rajamu datang kepadamu dengan rendah hati, menunggang seekor keldai, seekor anak keldai yang muda.” ’

6

Kedua-dua orang pengikut Isa itu pun pergi menjalankan segala yang disuruh-Nya.

7

Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu. Setelah mengalas belakang keldai itu dengan jubah mereka, mereka mendudukkan Isa ke atasnya.

8

Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan.

9

Orang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Isa berseru-seru,‘Hosana bagi Anak Daud!’‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’

10

Apabila Dia masuk ke Baitulmaqdis, seisi kota itu kagum lalu bertanya, ‘Siapakah ini?’

11

Orang ramai itu berkata, ‘Inilah Isa, nabi dari Nasaret di Galilea.’

12

Setelah itu Isa masuk ke rumah ibadat dan mengusir semua orang yang berjual-beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk orang yang menjual merpati.

13

Dia berkata kepada mereka, ‘Telah tersurat, “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.” ’

14

Selepas itu orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Isa di rumah ibadat, lalu Dia menyembuhkan mereka.

15

Tetapi apabila ketua imam dan guru Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam rumah ibadat, ‘Hosana bagi Anak Daud!’ mereka berasa marah.

16

Mereka berkata kepada Isa, ‘Kamu dengarkah apa yang mereka katakan?’ Isa menjawab, ‘Ya, belum pernahkah kamu baca,“Dari mulut kanak-kanak dan bayi yang sedang menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.” ’

17

Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Baitani. Dia menginap di situ.

18

Pada pagi esoknya, ketika Dia pergi semula ke kota Baitulmaqdis, Dia berasa lapar.

19

Dia melihat sebatang pokok ara di tepi jalan. Apabila Dia mendekatinya dan mendapati pokok itu hanya berdaun tidak berbuah, Dia berkata kepadanya, ‘Janganlah berbuah lagi selama-lamanya.’ Serta-merta pokok itu layu dan mati.

20

Apabila dilihat oleh para pengikut-Nya, mereka hairan dan bertanya, ‘Bagaimana pokok ara itu boleh layu dan mati serta-merta?’

21

Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, jika kamu beriman tanpa ragu, kamu dapat melakukan begitu juga kepada pokok ara itu, malah kamu boleh berkata kepada gunung ini, “Beralihlah dan terhumbanlah ke dalam laut,” lalu hal itu akan terjadi.

22

Apa sahaja yang kamu minta dalam doa dengan iman, akan kamu terima.’

23

Apabila Isa masuk ke rumah ibadat, ketua imam dan tua-tua datang kepada-Nya ketika Dia sedang mengajar, ‘Dengan kuasa apakah kamu melakukan semua ini? Dan siapakah yang memberimu kuasa itu?’

24

Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya sesuatu kepadamu. Jika kamu memberitahu-Ku, Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan segala ini:

25

Pengimadan Yahya dari manakah asalnya? Daripada Allah atau daripada manusia?’ Mereka pun berbincang sama sendiri, ‘Kalau kita kata, “Daripada Allah,” dia akan berkata, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak mempercayainya?”

26

Tetapi kalau kita kata, “Daripada manusia,” takut orang ramai marah, kerana mereka menganggap Yahya seorang nabi.’

27

Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku lakukan semua ini.

28

‘Tetapi bagaimana pandanganmu? Seorang ada dua orang anak lelaki. Dia mendapatkan yang sulung dan berkata, “Anakku, pergilah bekerja hari ini di ladang anggurku.”

29

‘Anak itu menjawab, “Aku tidak mahu,” tetapi kemudian dia menyesal lalu pergi bekerja di ladang bapanya.

30

‘Ayah itu pergi pula mendapatkan anaknya yang kedua dengan kata-kata yang sama. Anak itu menjawab, “Baiklah, aku pergi, ayah,” tetapi dia tidak pergi.

31

‘Antara dua itu, yang mana melakukan kehendak bapanya?’ Mereka menjawab, ‘Yang sulung.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, pemungut cukai dan pelacur akan memasuki kerajaan Allah terlebih dahulu daripadamu.

32

Yahya datang kepadamu untuk menunjukkan jalan yang benar tetapi kamu tidak percaya kepadanya; manakala pemungut cukai dan pelacur percaya kepadanya. Setelah kamu melihat hal ini pun, hatimu tidak menjadi lembut dan percaya kepadanya.

33

‘Dengarlah satu ibarat lagi: Seorang tuan punya tanah memiliki ladang anggur. Dia memagar ladang itu, menggali lubang tempat memeras anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu pergi ke luar negeri.

34

Apabila sampai masanya untuk mengumpulkan buah anggur, tuan punya ladang itu menghantar hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa tersebut meminta bahagiannya daripada hasil ladang itu.

35

‘Tetapi para penyewa menangkap hamba-hamba itu. Ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada yang direjam.

36

Tuan punya ladang itu menghantar hamba-hamba yang lain pula, lebih banyak lagi bilangannya. Tetapi hamba-hamba itu pun diperlakukan begitu juga.

37

Akhirnya tuan punya ladang itu menghantar puteranya sambil berfikir, “Tentu mereka akan menghormati puteraku.”

38

‘Tetapi apabila mereka melihat putera tuan punya ladang itu, mereka berkata sama sendiri, “Marilah kita bunuh waris tuan punya ladang ini, supaya dapat kita rampas harta pusakanya.”

39

Mereka pun menangkapnya, menghumbankannya ke luar ladang dan membunuhnya.’

40

Selepas itu Isa bertanya, ‘Apabila tuan punya ladang itu pulang, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa itu?’

41

Mereka menjawab, ‘Tentu dia akan membunuh semua orang yang jahat itu dan menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain yang sanggup memberikan bahagiannya daripada hasil ladang itu pada musim memetik anggur.’

42

Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah kamu baca apa yang tersurat di dalam Kitab Suci:‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru. Demikianlah perbuatan Tuhan; Sungguh hebat di mata kami!”?

43

‘Sesungguhnya, hak untuk memasuki kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada bangsa yang memberikan hasil yang dikehendaki Allah.

44

Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan digilis menjadi debu.’

45

Apabila ketua imam dan orang Farisi mendengar ibarat-ibarat Isa, fahamlah mereka bahawa Dia bercakap tentang mereka.

46

Oleh itu mereka cuba menangkap Isa. Tetapi mereka takut akan orang ramai yang menganggap Isa sebagai seorang nabi.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia