Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Matthew 17

1

Enam hari selepas itu, Isa membawa Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi.

2

Apabila mereka memandang Isa, mereka mendapati-Nya berubah: Wajah-Nya bersinar seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan.

3

Mereka melihat pula Ilyas dan Musa berkata-kata dengan Isa.

4

Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, sungguh baik bagi kita berada di sini. Kalau Junjungan mahu, biar kudirikan tiga buah khemah suci; satu untuk Junjungan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Ilyas.’

5

Sedang Petrus berkata-kata, segumpal awan yang bersinar-sinar meliputi mereka. Dari awan itu kedengaran suara berkata, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan. Dengarlah kata-Nya!’

6

Mendengar suara itu, para pengikut Isa ketakutan lalu meniarap di tanah.

7

Isa datang menyentuh mereka sambil berkata, ‘Bangunlah. Jangan takut.’

8

Apabila mereka memandang keliling, tiada siapapun kelihatan kecuali Isa.

9

Mereka turun dari atas gunung itu. Isa mengeluarkan perintah, ‘Jangan beritahu sesiapapun apa yang telah kamu lihat, selagi Putera Insan belum dibangkitkan daripada kematian.’

10

Para pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Mengapakah guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’

11

Isa menjawab, ‘Memang benar Ilyas mesti datang dulu untuk menyediakan semuanya.

12

Tetapi sesungguhnya Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang tetapi orang tidak mengenalnya. Mereka berbuat sesuka hati kepadanya. Begitulah mereka akan lakukan kepada Putera Insan.’

13

Ketika itu barulah para pengikut Isa faham bahawa yang dimaksudkan-Nya ialah Yahya Pengimad.

14

Setelah Isa dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya itu kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang berlutut di hadapan-Nya.

15

Lelaki itu berkata, ‘Tuan, kasihanilah anakku! Dia mengidap sakit gila babi dan penyakitnya sungguh teruk. Seringkali dia terjatuh ke dalam air atau api.

16

Aku sudahpun membawanya kepada pengikut-pengikut-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.’

17

Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini. Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke sini!’

18

Isa mengherdik roh iblis itu. Roh iblis itu pun keluar dari anak itu lalu dia sembuh serta-merta.

19

Para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan bertanya ketika tiada orang lain di situ, ‘Mengapakah kami tidak dapat menghalau roh iblis itu?’

20

Isa menjawab, ‘Kerana kamu tidak beriman. Sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit, “Beralihlah ke situ!” maka bukit itu akan beralih. Kamu dapat melakukan apa saja.

21

Jenis ini hanya dapat dihalau dengan berdoa dan berpuasa.’

22

Ketika semua pengikut Isa berhimpun di Galilea, Isa berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan kepada manusia.

23

Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.’ Mendengar kata-kata itu, para pengikut Isa berdukacita.

24

Apabila Isa dan para pengikut-Nya sampai di Kapernaum, pemungut-pemungut cukai rumah ibadat datang kepada Petrus lalu bertanya, ‘Adakah gurumu membayar cukai rumah ibadat?’

25

Petrus menjawab, ‘Tentu sekali.’ Sebaik-baik Petrus masuk ke rumah, sebelum dia dapat berkata apa-apa, Isa bertanya, ‘Simon, bagaimana pandanganmu, daripada siapakah raja-raja dunia ini memungut cukai, daripada anak-anak mereka atau orang lain?’

26

‘Orang lain,’ jawab Petrus. ‘Kalau begitu,’ kata Isa, ‘anak-anak tidak perlu membayar.

27

Tetapi usahlah kita singgung perasaan orang. Pergilah memancing di laut. Ambillah ikan pertama yang kautangkap, dan bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham. Ambillah duit itu dan berikan kepada mereka, untuk-Ku dan untukmu.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia