|
|
|
|
|
|
Perjanjian Baru
|
|
|
|
Malaysian Bible 2008
|
|
|
|
1 |
Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Isa. |
2 |
Herodes berkata kepada orang di bawahnya, ‘Ini tentu Yahya Pengimad. Dia telah bangkit daripada kematian! Sebab itulah dia ada kuasa melakukan mukjizat.’ |
3 |
Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus. |
4 |
Yahya telah memberitahu Herodes, ‘Tuan bersalah mengahwini Herodias’ |
5 |
Herodes hendak membunuh Yahya tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi. |
6 |
Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis. |
7 |
Oleh sebab terlalu menikmati tarian itu, Herodes bersumpah akan memberikan apa saja yang diminta oleh gadis itu. |
8 |
Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yahya Pengimad di atas talam pada waktu itu juga. |
9 |
Walaupun dengan berat hati, Herodes terpaksa menunaikan permintaan itu kerana telah bersumpah di hadapan majlisnya. |
10 |
Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yahya di penjara. |
11 |
Kepala Yahya diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya. |
12 |
Selepas itu pengikut Yahya datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Isa tentangnya. |
13 |
Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota. |
14 |
Setelah Isa turun dari perahu dan melihat mereka, hati-Nya berasa kasihan lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit di kalangan mereka. |
15 |
Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.’ |
16 |
Tetapi Isa menjawab, ‘Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.’ |
17 |
Kata para pengikut Isa, ‘Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.’ |
18 |
Isa berkata, ‘Bawalah makanan itu kepada-Ku.’ |
19 |
Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Dia mengambil makanan itu dan menengadah ke langit mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. |
20 |
Setiap orang makan sehingga kenyang dan lebihan yang dikumpulkan oleh para pengikut Isa sebanyak dua belas bakul. |
21 |
Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak. |
22 |
Setelah itu Isa menyuruh para pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. |
23 |
Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri. |
24 |
Ketika itu perahu yang dinaiki oleh para pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan. |
25 |
Antara dinihari dan pagi, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. |
26 |
Apabila mereka melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, ‘Hantu!’ |
27 |
Isa segera berkata kepada mereka, ‘Tenanglah. Aku Isa. Jangan takut.’ |
28 |
Petrus berkata, ‘Junjungan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.’ |
29 |
‘Marilah,’ sahut Isa. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa. |
30 |
Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. ‘Junjungan! Selamatkan aku!’ serunya. |
31 |
Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, ‘Engkau yang kurang percaya, mengapa engkau ragu?’ |
32 |
Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. |
33 |
Selepas itu para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkaulah Putera Allah!’ |
34 |
Mereka menyeberang ke Genesaret. |
35 |
Orang di situ mengenal Isa lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya. |
36 |
Mereka merayu Isa supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Dengan sentuhan itu sahaja pun mereka sembuh. |
Malaysian Bible 2008 |
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia |