Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Matthew 10

1

Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh durjana dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan.

2

Dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yahya, iaitu anak-anak Zebedeus;

3

Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus, dan Tadius;

4

Simon orang Patriot, dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Isa.

5

Isa mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk demikian: ‘Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria.

6

Pergilah kepada domba-domba sesat antara bani Israel.

7

Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat.

8

Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian.

9

Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga.

10

Jangan bawa bekas untuk menerima sedekah, atau ganti pakaian, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.

11

‘Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu.

12

Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam.

13

Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu.

14

Sekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debunya daripada tapak kakimu.

15

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu.

16

Dengarlah: Aku mengutusmu seperti domba ke tengah-tengah sekawan serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati.

17

‘Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka.

18

Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan penguasa dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.

19

Ketika dihakimi, janganlah runsing tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila sampai saatnya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan.

20

Bukanlah kata-katamu sendiri yang akan kamu ucapkan, tetapi kata-kata Roh Bapamu yang dituturkan melaluimu.

21

‘Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap bapa, lalu menyerahkannya untuk dibunuh.

22

Setiap orang akan membencimu kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga akhir akan diselamatkan.

23

Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah, Putera Insan akan datang semula sebelum kamu sempat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di tanah Israel.

24

‘Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya.

25

Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!

26

‘Jangan takut akan manusia. Segala yang tersembunyi akan dinyatakan; setiap rahsia akan didedahkan.

27

Apa yang Kukatakan kepadamu secara sulit, sampaikanlah kepada orang ramai. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah merata-rata.

28

Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Allah yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka.

29

Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu sen? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu.

30

Setiap helai rambut di kepalamu pun dihitung.

31

Oleh itu, usahlah takut. Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada burung pipit!

32

‘Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga.

33

Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan orang ramai, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.

34

‘Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang.

35

Dengan kedatangan-Ku,“anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya.

36

Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.”

37

‘Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.

38

Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.

39

Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi pengikut-Ku akan mendapat hidup kekal.

40

‘Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku.

41

Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima ganjaran seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar.

42

Ingatlah: Sesiapa yang memberi minum walau hanya air sejuk kepada seorang pengikut-Ku yang paling rendah pun kerana dia pengikut-Ku, akan menerima ganjaran.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia