Alkitab dalam satu tahun


September 20


1 Korintus 11:17-34
17. Dalam memberimu petunjuk-petunjuk berikut, aku tidak memujimu kerana apabila kamu berhimpun, bukan kebaikan tetapi keburukan yang timbul.
18. Pertama sekali, apabila kamu berhimpun sebagai satu jemaah, aku dengar kamu berkelompok-kelompok, dan aku percaya sebahagian yang kudengar.
19. Sememangnya di kalanganmu pasti terbentuk beberapa kelompok, sehingga mereka yang diperkenan Allah menjadi nyata.
20. Apabila kamu berhimpun di suatu tempat, bukanlah Perjamuan Tuhan yang kamu makan
21. kerana semua berebut hendak makan dahulu; sehingga ada yang lapar dan ada pula yang mabuk.
22. Apa! Tidakkah kamu mempunyai rumah untuk makan minum di dalamnya? Atau adakah kamu memandang hina jemaah Allah dan hendak memperkecil orang yang tidak mempunyai apa-apa? Apakah akan kukatakan kepadamu? Akan kupujikah kamu dalam hal ini? Tentunya tidak!
23. Aku telah menerima daripada Junjungan apa yang telah kusampaikan kepadamu: Bahawa pada malam Dia dikhianati, Junjungan Isa telah mengambil roti;
24. dan selepas mengucap syukur, Dia telah memecah-mecahkan roti itu lalu berkata, ‘Ambil, dan makanlah; ini tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.’
25. Demikian juga, Dia mengambil cawan makan malam itu sambil berkata, ‘Cawan Perjanjian Baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku,’
26. Kerana setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Junjungan hingga kedatangan-Nya.
27. Jika sesiapa makan roti atau minum dari cawan Tuhan ini secara yang tidak wajar, dia akan menanggung dosa terhadap tubuh dan darah Junjungan.
28. Hendaklah setiap orang memeriksa dirinya, dan kemudian makan roti itu dan minum dari cawan itu;
29. kerana jika seseorang memakannya dan meminumnya secara yang tidak wajar, dia makan dan minum akan penghukuman kepada dirinya, kerana tidak mengenal dan menghargai tubuh Tuhan.
30. Oleh sebab itu ada sebilangan besar yang lemah dan yang sakit di kalanganmu, malah ada yang meninggal dunia.
31. Jika kita menghakimi diri sendiri, tidaklah kita dihakimi.
32. Tetapi apabila kita dihakimi, kita dihukum oleh Tuhan supaya kita insaf, agar kita tidak dibinasakan bersama-sama dunia.
33. Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berhimpun untuk makan, tunggulah satu sama lain sebelum bermula.
34. Tetapi jika ada sesiapa yang lapar, makanlah dahulu di rumah, supaya perhimpunanmu tidak mendatangkan hukuman. Hal-hal lain akan kuatur ketika aku datang kelak.