Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 4

2 Timothy 5

6 →
1

Setiap Imam Besar dari kalangan manusia dilantik untuk mewakili manusia dalam hal-hal yang berkaitan dengan Allah, supaya dia dapat memberikan persembahan dan korban untuk menghapuskan dosa.

2

Dia dapat merasakan belas kasih kepada mereka yang jahil dan sesat, kerana dia sendiri menghadapi kelemahan diri.

3

Oleh itu dia dikehendaki membuat persembahan bukan sahaja untuk menghapuskan dosa orang lain tetapi juga dosanya sendiri.

4

Tiada sesiapapun mengambil kehormatan ini untuk dirinya, kecuali yang dipanggil oleh Allah, seperti Harun.

5

Demikian jugalah al-Masih, Dia tidak memuliakan diri-Nya untuk menjadi Imam Besar, tetapi Allah telah berfirman kepada-Nya:‘Engkau Putera-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’

6

Allah berfirman juga di suatu tempat lagi:‘Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.’

7

Ketika Isa hidup sebagai manusia, Dia telah berdoa dan merayu dengan ratap tangis kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan-Nya daripada kematian, dan Allah telah mendengar-Nya kerana kewarakan-Nya.

8

Sungguhpun Dia Putera, namun Dia belajar taat melalui segala penderitaan-Nya.

9

Setelah Dia dijadikan sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua yang mematuhi-Nya.

10

Dia dipanggil Allah menjadi Imam Besar menurut peraturan Melkisedek.

11

Tentang ini kami ada banyak untuk dikatakan, namun sukar hendak diterangkan, kerana pendengaranmu sudah tumpul.

12

Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang prinsip-prinsip asas firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal.

13

Orang yang hanya boleh minum susu itu tidak mahir dalam ajaran tentang kebenaran, kerana dia masih bayi.

14

Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akalnya membezakan baik dengan buruk.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia