Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 6

1 Timothy 7

8 →
1

Melkisedek ini raja Salem, Imam Allah Yang Maha Tinggi. Dia telah bertemu dengan Ibrahim yang dalam perjalanan pulang setelah menewaskan raja-raja, lalu dia memberkati Ibrahim.

2

Kepadanya juga Ibrahim menyerahkan sepersepuluh daripada segala yang dibawanya. Melkisedek mula-mula diterjemahkan sebagai ‘raja kebenaran’; kemudian dia dipanggil juga sebagai ‘raja Salem’, bermakna ‘raja kesejahteraan’.

3

Dia tidak mempunyai ibu bapa, tidak bersalasilah, tiada tarikh permulaan atau penghabisan hayatnya, tetapi seperti Putera Allah, dia terus-menerus menjadi Imam.

4

Sekarang fikirkanlah betapa besarnya orang itu, hinggakan moyang kita Ibrahim menyerahkan kepadanya sepersepuluh daripada rampasan perangnya.

5

Keturunan Lewi yang menerima jawatan imam dikehendaki memungut sepersepuluh hasil daripada kaum itu menurut hukum Taurat, iaitu daripada saudara-saudara mereka, walaupun dari benih Ibrahim.

6

Tetapi seorang yang bukan daripada keturunan mereka telah menerima bayaran sepersepuluh hasil daripada Ibrahim dan telah memberkati Ibrahim, penerima janji-janji Allah.

7

Tidak boleh dinafikan bahawa orang yang lebih rendah kedudukannya diberkati oleh orang yang lebih tinggi.

8

Di sini manusia biasa yang akan mati menerima bayaran sepersepuluh hasil, tetapi di sana dia menerimanya, yang telah disaksikan hidup berterusan.

9

Lewi yang menerima bayaran sepersepuluh hasil pun boleh dikatakan membayarnya melalui Ibrahim,

10

kerana dia masih dalam sulbi moyangnya apabila Melkisedek berjumpa dengannya.

11

Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun?

12

Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat.

13

Dia yang disebut berkaitan segala ini datang dari suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di tempat persembahan.

14

Jelas bahawa Junjungan kita keturunan Yahuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam.

15

Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi,

16

yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan.

17

Tentang Dia, telah disaksikan:‘Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.’

18

Perintah dahulu telah terbatal disebabkan lemah dan tidak berguna,

19

kerana hukum Taurat tidak menyempurnakan apa-apapun. Di samping itu, telah dibawa masuk harapan yang lebih baik, yang membawa kita lebih dekat kepada Allah.

20

Dan semua ini tidaklah dilakukan tanpa sumpah.

21

Imam-imam lain telah diangkat tanpa sumpah, tetapi Isa al-Masih telah menjadi imam dengan sumpah daripada Allah yang berfirman kepada-Nya:‘Tuhan telah bersumpah dan tidak akan mengubah ketetapan: “Engkau menjadi imam selama-lamanya.” ’

22

Dengan demikian Isa menjadi jaminan yang lebih kukuh bagi perjanjian yang lebih baik.

23

Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan.

24

Tetapi Isa, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah.

25

Oleh itu Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka.

26

Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga;

27

Imam Besar yang dahulu perlu mempersembahkan korban setiap hari, mula-mula untuk menghapuskan dosa mereka sendiri dan kemudian dosa orang lain. Tetapi Dia tidak perlu berbuat demikian. Dia telah melakukannya sekali untuk selama-lamanya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya.

28

Hukum melantik manusia biasa dengan segala kelemahannya untuk menjadi Imam Besar. Tetapi firman dan sumpah Allah, yang datang selepas hukum Taurat, melantik Putera yang telah disempurnakan untuk selama-lamanya.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia