Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 3

1 Tesalonika 4

5 →
1

Akhirnya, saudara-saudaraku, dengan nama Junjungan Isa, kami meminta dan menyeru kamu sebagaimana yang kamu pelajari daripada kami supaya kamu menegakkan cara hidup yang diredai Allah. Sebagaimana yang telah kamu lakukan sedemikian, lakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh.

2

Kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepadamu melalui Junjungan Isa.

3

Allah menghendakimu hidup suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul.

4

Hendaklah kamu masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh badan sendiri dan hidup dalam kesucian dan kehormatan,

5

serta tidak menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah.

6

Janganlah sesiapa berbuat salah kepada saudaranya atau memperdayanya dalam hal ini. Kami telah menyatakan ini kepadamu dulu dan memberikan amaran keras bahawa Tuhan akan menimpakan pembalasan kepada orang yang melakukan kesalahan demikian.

7

Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian.

8

Oleh yang demikian, sesiapa yang menolak ajaran ini bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah yang mengurniai kita Roh Suci-Nya.

9

Kami tidak perlu menuliskan betapa kamu harus kasih-mengasihi sebagai saudara. Allah telah mengajarmu supaya kasih-mengasihi.

10

Kamu telah pun mengamalkannya terhadap saudara-saudara seiman di serata Makedonia. Namun, saudara-saudaraku, kami menyerumu supaya lebih kasih-mengasihi lagi.

11

Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana yang kami katakan kepadamu dulu.

12

Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut al-Masih dan kamu tidak akan kekurangan apa-apa.

13

Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan.

14

Kita percaya bahawa Isa telah mati dan hidup semula. Kita juga percaya bahawa mereka yang beriman kepada Isa dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya.

15

Inilah ajaran Tuhan yang kami sampaikan kepadamu – pada hari kedatangan Junjungan yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah mati.

16

Pada waktu itu, Junjungan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung, dan dengan sangkakala Allah. Mereka yang beriman kepada al-Masih dan telah mati akan dibangkitkan terlebih dahulu.

17

Kemudian kita yang masih hidup ketika itu akan diangkat bersama mereka ke awan untuk bertemu dengan Junjungan di angkasa. Lantas kita akan bersama Junjungan selama-lamanya.

18

Oleh itu, hendaklah kamu menyenangkan hati sesama sendiri dengan kata-kata ini.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia