Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 6

Efesus 1

2 →
1

Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah, Kepada semua orang salih di Efesus, iaitu orang yang beriman kepada Isa al-Masih:

2

Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Junjungan Isa al-Masih.

3

Segala puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam al-Masih.

4

Ini kerana Dia telah memilih kita dalam al-Masih sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih,

5

Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Isa al-Masih kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya –

6

supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya.

7

Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya

8

yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian.

9

Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam al-Masih,

10

bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya – Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah al-Masih sebagai kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.

11

Dalam-Nya juga kita telah mendapat warisan, kerana telah ditentukan dari mulanya menurut maksud Allah yang melakukan segalanya seperti pertimbangan kehendak-Nya,

12

bahawa kami yang mula-mula menaruh harapan pada al-Masih akan mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya.

13

Kamu juga dalam al-Masih setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Suci yang dijanjikan-Nya,

14

yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya.

15

Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Junjungan Isa dan mengasihi semua orang yang salih,

16

tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku.

17

Aku berdoa semoga Allah Tuhan Junjungan kita Isa al-Masih, Bapa kemuliaan, memberimu roh kebijaksanaan dan wahyu untuk mengenali-Nya.

18

Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih,

19

dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman. Demikianlah pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu

20

dalam al-Masih apabila membangkitkan-Nya daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga.

21

Allah meletakkan al-Masih jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang.

22

Allah meletakkan segalanya di bawah kaki-Nya dan menjadikan-Nya kepala semua hal ehwal jemaah,

23

yang merupakan tubuh-Nya, disempurnakan oleh Dia yang menyempurnakan segala-galanya.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia