Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 2

2 Korintus 3

4 →
1

Adakah kami memuji diri? Atau perlukah kami menunjukkan surat pujian kepadamu atau yang datang daripadamu, seperti dilakukan oleh sebilangan orang?

2

Kamulah surat pujian kami, yang tersurat di hati kami, dan yang dapat diketahui serta dibaca oleh semua orang.

3

Kamu adalah surat kiriman al-Masih yang kami hantarkan. Surat itu ditulis bukan dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup; bukan di loh batu tetapi di loh daging iaitu hati manusia.

4

Demikianlah keyakinan kami kepada Allah melalui al-Masih.

5

Kami tidak menganggap kesanggupan kami bekerja datang daripada diri kami sendiri. Kesanggupan itu datang daripada Allah.

6

Dialah yang telah menjadikan kami sanggup mengabdi diri kepada umat perjanjian baru yang tidak lagi berasaskan perintah-perintah tersurat tetapi berasaskan Roh; kerana perintah-perintah tersurat itu membawa kematian sedangkan Roh membawa kehidupan.

7

Jika perjanjian yang membawa kepada kematian, iaitu yang terukir di loh-loh batu, diturunkan dari kemuliaan wajah Musa sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya, walaupun ketika itu sinarnya sudah mulai malap;

8

maka tentulah perjanjian yang datang daripada Roh lebih besar lagi kemuliaannya.

9

Jika perjanjian yang membawa manusia kepada penghakiman begitu mulianya, maka perjanjian yang membawa manusia kepada kebenaran tentulah jauh lebih mulia lagi!

10

Sesuatu yang dahulu dipandang mulia tidak mulia lagi berbanding sesuatu yang jauh lebih mulia.

11

Jika sesuatu yang sementara telah diturunkan dengan kemuliaan, maka sesuatu yang kekal haruslah diturunkan dengan kemuliaan yang lebih besar.

12

Oleh sebab kami menaruh harapan demikian, maka kami lebih berani,

13

berbeza dengan Musa yang menutup wajahnya dengan selubung supaya bangsa Israel tidak dapat memandang kemuliaan yang beransur malap.

14

Fikiran mereka menjadi tumpul, kerana hingga hari ini, apabila mereka membaca Kitab-kitab Suci yang mengandungi perjanjian lama, selubung itu masih tetap menghalang pandangan mereka. Selubung tidak akan terbuka kecuali dalam al-Masih.

15

Malah hingga sekarang, ketika mereka membaca Kitab Suci yang disampaikan melalui Musa, selubung itu masih menutupi hati mereka.

16

Apabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan.

17

Tuhan adalah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan.

18

Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia