Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Acts 9

1

Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh pengikut-pengikut Junjungan Isa, pergi mendapatkan imam besar

2

dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Isa, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Baitulmaqdis.

3

Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba cahaya dari langit bersinar sekelilingnya.

4

Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, ‘Saul, Saul, mengapa kauaniaya Aku?’

5

Saul bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Isa yang kauaniaya.

6

Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.’

7

Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapapun.

8

Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh demikian mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik.

9

Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum.

10

Ada seorang pengikut Isa yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Junjungan berkata, ‘Ananias!’ ‘Ya, Junjungan,’ sahut Ananias.

11

Junjungan berkata kepadanya, ‘Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,

12

dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.’

13

Ananias menjawab, ‘Ya Junjunganku, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Baitulmaqdis.

14

Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.’

15

Namun, Junjungan berkata, ‘Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel.

16

Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana-Ku.’

17

Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, ‘Saudaraku Saul, Junjungan telah mengutusku. Isa yang menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Suci.’

18

Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu diimadkan.

19

Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para pengikut Isa.

20

Dia terus mengkhabarkan di saumaah-saumaah tentang Isa, bahawa Dia Putera Allah.

21

Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, ‘Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Baitulmaqdis? Malah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam.’

22

Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberi Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Isa itu al-Masih.

23

Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul

24

tetapi dia mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam;

25

tetapi pengikut-pengikut Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.

26

Apabila Saul sampai di Baitulmaqdis, dia cuba menghubungi para pengikut Isa tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar pengikut Isa.

27

Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Junjungan ketika dalam perjalanan, kata-kata Junjungan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Isa di Damsyik.

28

Selepas itu Saul keluar masuk di Baitulmaqdis bersama para rasul

29

serta menyebarkan nama Junjungan dengan berani. Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya.

30

Apabila para pengikut Isa yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.

31

Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh tanah Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup bertakwa kepada Allah. Dengan pertolongan Roh Suci bilangan mereka semakin besar.

32

Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida.

33

Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.

34

Petrus berkata kepadanya, ‘Eneas, Isa al-Masih menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.’ Pada saat itu juga Eneas bangun.

35

Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu beriman kepada Tuhan.

36

Di Yope ada seorang perempuan pengikut Isa bernama Tabita (dalam bahasa Yahudi disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah.

37

Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas.

38

Oleh sebab Lida berdekatan dengan Yope, para pengikut Isa di Yope mendapat tahu Petrus ada di Lida lalu menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin.

39

Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya.

40

Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, ‘Hai Tabita, bangunlah.’ Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk.

41

Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua pengikut Isa termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu.

42

Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan.

43

Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia