Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 6

John 7

8 →
1

Selepas itu, Isa pergi berjalan di Galilea. Dia tidak pergi ke daerah Yudea kerana orang Yahudi di situ berniat hendak membunuh-Nya.

2

Ketika itu Perayaan Tabernakel orang Yahudi hampir tiba.

3

Oleh itu, saudara-saudara Isa berkata kepada-Nya, ‘Beredarlah dari sini ke Yudea, supaya pengikut-pengikut-Mu dapat melihat perbuatan-Mu.

4

Orang tidak menyembunyikan perbuatannya kalau ingin menjadi ternama. Kerana Kamu sudah melakukan perkara-perkara ini, biarlah diri-Mu dikenal orang di dunia.’

5

(Saudara-saudara Isa sendiri tidak percaya kepada-Nya.)

6

Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Saat-Ku belum sampai lagi. Saatmu bila-bila sahaja.

7

Dunia ini tiada sebab untuk membencimu. Tetapi dunia membenci-Ku, kerana Aku memberikan kesaksian tentangnya bahawa kerjanya durjana.

8

Pergilah menyambut perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum sampai sepenuhnya.’

9

Setelah berkata demikian, Isa tetap tinggal di Galilea.

10

Apabila saudara-saudara-Nya telah bertolak untuk menghadiri perayaan itu, Isa pun pergi juga secara diam-diam.

11

Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Isa. Mereka bertanya, ‘Di manakah Dia?’

12

Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, ‘Dia seorang yang baik.’ Ada pula yang berkata, ‘Tidak! Dia membawa ajaran sesat!’

13

Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Isa, kerana takut akan orang Yahudi.

14

Pada pertengahan masa perayaan itu, Isa masuk ke rumah ibadat lalu mengajar.

15

Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, ‘Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?’

16

Lalu Isa menjawab, ‘Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku.

17

Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah.

18

Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan.

19

Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tidak seorang pun di antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?’

20

Orang ramai menjawab, ‘Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?’

21

Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub.

22

Musa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.)

23

Kiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat?

24

Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil.’

25

Sebilangan penduduk Baitulmaqdis berkata, ‘Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?’

26

Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia al-Masih?

27

Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya.’ Tetapi, apabila al-Masih datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.’

28

Ketika Isa mengajar di rumah ibadat, Dia berseru dengan suara lantang, ‘Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya.

29

Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.’

30

Selepas itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai.

31

Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Isa. Mereka berkata, ‘Apabila al-Masih datang, adakah dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?’

32

Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal rumah ibadat menangkap Isa.

33

Namun, Isa berkata, ‘Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku.

34

Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku, kerana kamu tidak boleh datang ke tempat Aku berada.’

35

Orang Yahudi berkata sesama sendiri, ‘Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan di kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani?’

36

Apakah maksud kata-kata-Nya, “Kita akan mencari-Nya tetapi tidak dapat menemui-Nya kerana kita tidak boleh pergi ke tempat Dia berada”?’

37

Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Isa berdiri lalu berkata dengan suara lantang, ‘Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum.’

38

Sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.”’

39

(Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Roh Suci yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Suci belum dikurniakan, kerana Isa belum dimuliakan.)

40

Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Isa berkata, ‘Sudah tentu orang inilah Nabi itu!’

41

Ada pula yang berkata, ‘Dialah al-Masih yang diutus oleh Allah.’ Sebaliknya, ada yang berkata, ‘Al-Masih yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea.

42

Menurut Kitab Suci, al-Masih yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Baitlahim, tempat asal Raja Daud.’

43

Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Isa.

44

Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapapun menyentuh-Nya.

45

Kemudian para pengawal rumah ibadat datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal rumah ibadat itu, ‘Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?’

46

Para pengawal itu menjawab, ‘Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!”

47

Orang Farisi berkata, ‘Adakah kamu disesatkan juga?

48

Adakah mana-mana pemerintah atau orang Farisi percaya kepada-Nya?

49

Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat – terlaknatlah mereka ini!’

50

Nikodemus, seorang Farisi yang pernah pergi menemui Isa, berkata,

51

‘Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?’

52

Mereka berkata, ‘Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea.’

53

Selepas itu semua orang pulang ke rumah.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia