Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 20

John 21

1 →
1

Setelah itu, Isa menampakkan diri sekali lagi kepada para pengikut-Nya, di Tasik Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku:

2

Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Isa yang lain, sedang berhimpun di situ.

3

Simon Petrus berkata kepada mereka, ‘Aku hendak pergi menangkap ikan.’ Mereka berkata kepadanya, ‘Kami hendak pergi bersama-sama.’ Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka.

4

Ketika matahari terbit, Isa berdiri di pantai, tetapi mereka tidak mengenal-Nya.

5

Isa bertanya kepada mereka, ‘Anak-anak, kamu ada ikan?’ ‘Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,’ jawab mereka.

6

Isa berkata kepada mereka ‘Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.’ Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali.

7

Oleh itu pengikut yang dikasihi oleh Isa berkata kepada Petrus, ‘Itu Junjungan!’ Setelah mendengar bahawa Junjungan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya untuk bekerja) lalu terjun ke dalam air.

8

Para pengikut lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira seratus meter (dua ratus ‘cubits’).

9

Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada.

10

Isa berkata kepada mereka, ‘Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.’

11

Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, 153 ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak.

12

Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah bersarapan.’ Tiada seorang pun yang berani bertanya, ‘Siapakah Tuan?’ kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Junjungan.

13

Isa pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan.

14

Itulah kali ketiga Isa menampakkan diri kepada para pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.

15

Selepas sarapan bersama-sama, Isa bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah anak-anak domba-Ku makan.’

16

Bagi kali kedua Isa bertanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Peliharalah domba-domba-Ku.’

17

Bagi kali ketiga Isa bertanya kepadanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu mengasihi-Ku?’ Petrus sedih kerana Isa bertanya kepadanya bagi kali ketiga, ‘Adakah kamu mengasihi-Ku?’ Lalu dia menjawab, ‘Junjungan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah domba-domba-Ku makan.’

18

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.’

19

Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, ‘Ikutlah Aku!’

20

Petrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk dekat dengan Isa ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, ‘Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?’

21

Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, bagaimana dengan orang ini?’

22

Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.’

23

Oleh itu tersebarlah di kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?’

24

Pengikut itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menuliskan semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.

25

Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Isa. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia