Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008
← 12

Mark 13

14 →
1

Ketika Isa sedang melangkah keluar dari rumah ibadat, seorang pengikut-Nya berkata, ‘Tuan Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!’

2

Isa menjawab, ‘Adakah kamu melihat bangunan yang hebat-hebat ini? Tiada sekeping pun batunya akan tinggal tersusun, semuanya akan diruntuhkan.’

3

Ketika Dia duduk di atas Bukit Zaitun setentang dengan rumah ibadat, pengikut-Nya Petrus, Yakobus, Yahya dan Andreas bertanya kepada-Nya secara peribadi,

4

‘Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan berlaku? Apakah tanda-tandanya semua ini akan terjadi seperti yang telah dikatakan?’

5

Isa menjawab, ‘Awas, jangan tertipu oleh sesiapapun.

6

Ramai yang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah Dia”, maka ramai yang akan terpedaya.

7

Apabila kamu mendengar berita atau khabar angin tentang peperangan, janganlah bimbang; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya dunia berakhir.

8

Bangsa akan bangkit melawan bangsa, kerajaan melawan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di sana sini, dan juga kebuluran. Ini permulaan kesengsaraan.

9

‘Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam rumah ibadat. Kamu akan dibawa kepada para pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka.

10

Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa.

11

Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkanmu kepada pihak berkuasa, janganlah runsing atau fikirkan apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diilhamkan kepadamu pada waktunya tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Suci, bukannya kamu.

12

‘Saudara akan mengkhianati saudara untuk dibunuh, demikian juga bapa akan anaknya. Anak-anak akan bangkit menentang ibu bapa dan menyebabkan mereka dihukum mati.

13

Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.

14

‘Apabila kamu melihat “kekejian yang membawa kebinasaan” yang disebutkan oleh Nabi Daniel berdiri di tempat terlarang baginya – hendaklah para pembaca memperhatikan ertinya – semua yang ada di Yudea larilah ke pergunungan.

15

Yang di atas bumbung ketika itu janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil apa-apa.

16

Yang di ladang usahlah pulang mengambil pakaian.

17

Malanglah ibu yang mengandung dan yang menyusui anak pada masa itu!

18

Berdoalah semoga hal-hal itu tidak terjadi pada musim dingin.

19

Pada masa itu akan berlaku pancaroba yang belum pernah wujud sejak dunia dicipta Allah hingga waktu itu dan tidak akan muncul lagi.

20

Kalaulah Tuhan tidak menyingkatkan masa itu, tiada satu makhluk pun yang dapat diselamatkan. Namun, demi kesejahteraan mereka yang telah dipilih-Nya, masa itu disingkatkan-Nya.

21

Ketika itu jika sesiapa berkata kepadamu, “Lihat, al-Masih di sini!” atau “Lihat, Dia di sana!” janganlah kamu percaya;

22

kerana beberapa almasih palsu dan nabi palsu akan bangkit dan menunjukkan pelbagai tanda serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk mereka yang telah dipilih Allah.

23

Berhati-hatilah. Lihat, Aku telah memberitahu semuanya kepadamu terlebih dahulu.

24

‘Pada masa itu, selepas pancaroba,‘ “Matahari akan dikelamkan, dan bulan tidak akan bersinar;

25

bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa angkasa akan digoncang.”

26

‘Kemudian mereka akan melihat Putera Insan datang dalam awan penuh dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.

27

Setelah itu Dia akan menghantar para malaikat-Nya dan menghimpunkan orang pilihan-Nya dari empat mata angin, dari hujung bumi yang paling jauh ke hujung syurga yang paling jauh.

28

‘Sekarang, kajilah ibarat daripada pokok ara: Apabila dahan-dahannya sudah lembut dan mengeluarkan daun, itulah tanda musim panas sudah dekat.

29

Begitulah juga kamu. Apabila kamu melihat kejadian-kejadian ini, ketahuilah bahawa waktunya sudah dekat – sudah di ambang pintu!

30

Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan ini tidak akan luput sebelum semua kejadian itu berlaku.

31

Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.

32

‘Tetapi tentang hari dan waktunya tiada siapa yang tahu. Malaikat di syurga tidak tahu, malah Putera juga tidak tahu, hanya Bapa yang mengetahui.

33

Berhati-hatilah! Berjaga dan berdoa! Kerana kamu tidak tahu bila saatnya.

34

Umpama seorang yang pergi ke negeri yang jauh: Dia meninggalkan rumahnya dan memberikan kekuasaan kepada hamba-hambanya, setiap seorang dengan tugasnya serta memerintahkan penjaga pintu supaya berjaga-jaga.

35

‘Oleh itu berjagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang – pada waktu petang, atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi –

36

takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur.

37

Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua: “Berjagalah!” ’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia