Perjanjian Baru
Malaysian Bible 2008

Matthew 28

1

Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maryam Magdalena dan Maryam yang seorang lagi pergi melihat makam Isa.

2

Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya.

3

Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji.

4

Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati.

5

Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, ‘Jangan takut, aku tahu kamu mencari Isa yang telah disalib.

6

Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dulu.

7

Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada para pengikut-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu.’

8

Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para pengikut Isa.

9

Dalam perjalanan, tiba-tiba Isa menemui mereka sambil berkata, ‘Salam sejahtera!’ Lalu mereka pun mendekati Isa dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya.

10

Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku.’

11

Sementara perempuan itu sedang dalam perjalanan, beberapa orang pengawal tersebut masuk ke kota dan melaporkan kepada ketua-ketua imam apa yang telah terjadi.

12

Setelah bermesyuarat dengan tua-tua, mereka memberikan sejumlah wang yang besar kepada askar-askar yang berkawal itu

13

serta berpesan, ‘Beritahu orang, “Para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya lalu dibawa pergi sewaktu kami sedang tidur.”

14

Kalau hal ini sampai ke telinga gabenor, kami akan melembutkan hatinya dan kamu tidak akan diapa-apakan.’

15

Mereka menerima wang itu dan melakukan apa yang diarahkan. Cerita ini biasa disebarkan di kalangan orang Yahudi hingga sekarang.

16

Kemudian, pengikut Isa yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya.

17

Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu.

18

Isa berkata kepada mereka, ‘Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi.

19

Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa pengikut-Ku. Imadkan mereka dengan nama Bapa, Putera dan Roh Suci.

20

Ajar mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia