← 15 17 →

Matthew 16

1

Beberapa orang Farisi dan Saduki datang kepada Isa. Untuk menduga Isa, mereka meminta-Nya melakukan mukjizat sebagai bukti Dia datang daripada Allah.

2

Isa menjawab, ‘Ketika matahari masuk, kamu berkata, “Cuaca baik, kerana langit merah.”

3

Pada waktu pagi, kamu berkata, “Cuaca buruk nanti, kerana langit merah mengancam.” Munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat alamat-alamat di langit, tetapi kamu tidak dapat memahami alamat-alamat zaman ini.

4

Manusia zaman yang durjana dan derhaka ini ingin melihat alamat mukjizat. Tetapi satu alamat pun tidak akan ditunjukkannya kecuali alamat Nabi Yunus.’ Setelah berkata demikian, Isa pun pergi dari situ.

5

Ketika para pengikut Isa berperahu ke seberang, mereka terlupa membawa roti.

6

Isa berkata kepada mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.’

7

Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’

8

Isa tahu apa yang dikatakan oleh mereka. Dia berkata, ‘Mengapa kamu persoalkan hal tidak membawa roti? Tipis benar kepercayaanmu!

9

Belum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?

10

Bagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?

11

Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.’

12

Barulah mereka faham bahawa maksud Isa bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang Farisi dan Saduki.

13

Isa pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Menurut kata orang, siapakah Putera Insan ini?’

14

Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata Yahya Pengimad; ada yang berkata Ilyas; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.’

15

Isa bertanya, ‘Menurut kamu, siapakah Aku ini?’

16

Simon Petrus menjawab, ‘Junjungan, Engkau ialah al-Masih, Putera Allah Yang Hidup.’

17

Isa berkata, ‘Berbahagialah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga.

18

Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu inilah akan Kubina jemaah-Ku. Maut pun tidak dapat merobohkannya.

19

Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kauikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kauuraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.’

20

Selepas itu Isa berpesan kepada para pengikut-Nya supaya jangan memberitahu sesiapa bahawa Dia al-Masih.

21

Sejak itu, Isa mula berkata terus-terang kepada para pengikut-Nya bahawa Dia harus pergi ke Baitulmaqdis dan menanggung banyak penderitaan yang disebabkan oleh pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula.

22

Petrus menarik Isa ke tepi lalu menegur-Nya, ‘Junjungan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu, Junjungan!’

23

Isa berpaling sambil berkata kepada Petrus, ‘Pergilah dari sini, Iblis! Engkau menyakitkan hati-Ku kerana fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!’

24

Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Jika sesiapa ingin mengikut-Ku, lupakan kepentingan diri, pikul salib dan ikut Aku.

25

Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup.

26

Apalah gunanya jika seseorang memperolehi seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Apakah yang dapat diberinya sebagai ganti untuk hidup itu?

27

Sudah hampir waktunya Putera Insan datang bersama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan memberi balasan kepada setiap orang menurut perbuatannya.

28

Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, beberapa orang di sini tidak akan menemui maut sebelum melihat Putera Insan datang sebagai Raja.’

Malaysian Bible 2008
Copyright © 2013 Pengamat Kitab Mulia