Alkitab dalam satu tahun
Jun 22


John 12:1-26
1. Enam hari sebelum perayaan Paska, Isa pergi ke Baitani, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
2. Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain bertelekan di meja bersama Isa.
3. Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Isa, lalu menyapu kaki Isa dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.
4. Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Isa yang mengkhianati-Nya kelak berkata,
5. ‘Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?’
6. Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.
7. Isa berkata, ‘Jangan bantah perbuatan perempuan ini. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari penguburan-Ku.
8. Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.’
9. Apabila orang Yahudi mendengar Isa ada di Baitani, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
10. Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.
11. Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Isa.
12. Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut perayaan Paska mendengar bahawa Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis.
13. Mereka mengambil dahan-dahan pohon palma lalu pergi mengalu-alukan Isa sambil berseru,‘Hosana!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!’
14. Isa mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya. Maka berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci,
15. ‘Janganlah takut. Wahai puteri Sion; lihatlah Rajamu datang menunggang seekor keldai muda!’
16. Sewaktu itu para pengikut Isa tidak memahami erti segala ini. Setelah Isa dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka sedar bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat di dalam Kitab Suci.
17. Orang yang mendengar Isa memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberi kesaksian tentang kejadian itu.
18. Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa Isa kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.
19. Orang Farisi berkata sesama sendiri, ‘Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.’
20. Di antara orang ramai yang pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.
21. Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, ‘Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.’
22. Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.
23. Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan.
24. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu: Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
25. Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.
26. Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.