Alkitab dalam satu tahun
April 24


Lukas 6:1-26
1. Pada hari Sabat Isa berjalan melalui ladang-ladang gandum dan pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya.
2. Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu membuat sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?’
3. Isa menjawab, ‘Belumkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan pasukannya berasa lapar?
4. Dia masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan lalu mengambil dan memakan Roti Persembahan lalu memberikannya kepada mereka yang ada bersamanya. Roti Persembahan itu dilarang dimakan kecuali oleh imam-imam sahaja.’
5. Isa menambah, ‘Putera Insan berkuasa atas hari Sabat.’ Orang yang tangannya lumpuh sebelah
6. Pada suatu hari Sabat yang lain, Isa masuk ke dalam saumaah lalu mengajar orang. Terdapat di situ seorang yang lumpuh tangan kanannya.
7. Guru-guru Taurat dan orang Farisi mengawasi Isa untuk melihat sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat kerana mereka hendak mencari alasan untuk menuduh-Nya.
8. Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, ‘Bangunlah dan berdiri di sini.’ Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.
9. Isa berkata kepada mereka, ‘Aku bertanya kepadamu apa yang dibenarkan oleh hukum kita untuk dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan nyawa orang atau membinasakannya?’
10. Isa memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu berbuat demikian dan tangannya pun sembuh.
11. Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dibuat terhadap Isa.
12. Pada masa itu Isa naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah.
13. Setelah hari siang, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul:
14. Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas adiknya, Yakobus dan Yahya, Filipus dan Bartolomeus,
15. Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,
16. Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pembelot.
17. Isa turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata dengan ramai pengikut-Nya. Ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Baitulmaqdis dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon
18. telah datang untuk mendengar Isa dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh durjana turut datang dan mereka juga disembuhkan.
19. Semua orang cuba menyentuh Isa kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya untuk menyembuhkan mereka semua.
20. Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata:‘Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.
21. Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dikenyangkan. Diberkatilah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersuka ria.
22. Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan mengutuk kamu kerana Putera Insan.
23. ‘Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melonjak keriangan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Demikian juga perbuatan nenek moyang mereka terhadap nabi-nabi.
24. ‘Tetapi malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang.
25. Malangnya kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Malangnya kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.
26. Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.